Khamis, 25 November 2021 | 2:53pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Henti amalan rasuah untuk kekal berkuasa dalam badan sukan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan, terdapat pentadbir dalam badan sukan negara mengamalkan rasuah untuk terus kekal berkuasa dalam organisasi terbabit.

Katanya, amalan memberikan habuan atau jawatan tertentu dalam sesebuah badan sukan negara hari ini perlu dihentikan dengan segera.

"Salah guna kuasa dan rasuah bukan sahaja bermotifkan mendapatkan habuan kewangan, malah boleh berlaku apabila seseorang pemegang jawatan berhasrat untuk terus kekal berkuasa dalam sesuatu badan sukan.

"Kecenderungan amalan salah guna kuasa dalam mempertahankan jawatan yang disandang dalam badan sukan itu dengan menjanjikan habuan atau jawatan tertentu perlu dihentikan.

"Ia adalah amalan yang tidak sihat dan wajar disisihkan dalam tadbir urus badan sukan kebangsaan," katanya dalam ucapannya ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Badan Sukan Kebangsaan, 2021, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; Timbalan Menteri, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Ramona Razali (Strategik) serta Abdullah Hassan (Pengurusan).

Mengenai aktiviti rasuah dalam penganjuran sukan, Ahmad Faizal berkata, skandal rasuah bukan hanya menjejaskan kehidupan dan sosial mereka yang terbabit, malah turut menjejaskan pembangunan sukan seperti terjadi dalam sukan bola sepak.

Katanya, skandal mengatur perlawanan dianggap terbesar dalam sejarah bola sepak Malaysia, yang terjadi sekitar 1994 hingga 1995 lalu mengakibatkan prestasi bola sepak negara masih tidak menentu sehingga kini dan turut menjadi antara faktor kejatuhan skuad kebangsaan Malaysia.

"Imej sukan negara tercalar apabila lebih 100 pemain dan pegawai pasukan didapati bersalah terbabit dengan skandal tidak bermoral itu. Ia mengakibatkan ada pemain yang dikenakan hukuman buang daerah, penggantungan seumur hidup daripada dalam sebarang aktiviti bola sepak di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Alhamdulillah, dengan kesungguhan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh FAM, tiada lagi kedengaran cerita rasuah atau skandal mengatur perlawanan membabitkan pemain, pegawai mahupun bookie tempatan menghiasi media tempatan," katanya.

Ahmad Faizal berkata, usaha pencegahan perlu diterapkan dalam tadbir urus badan sukan melalui peraturan tertentu atau kaedah seliaan yang perlu diperkenalkan dan ditambah baik.

"Ini supaya amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam badan sukan dapat dihapuskan dan dikawal sebaiknya," katanya.

Berita Harian X