Khamis, 25 November 2021 | 1:35pm
Mohamed Azmin pada persidangan di Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Mohamed Azmin pada persidangan di Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA

3 akta perlu dipinda lengkapkan proses domestik ratifikasi RCEP

KUALA LUMPUR: Tiga akta perlu dipinda bagi melengkapkan proses domestik ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pindaan terhadap akta berkaitan itu adalah bagi memastikan ia sejajar dengan obligasi negara bawah RCEP.

"Draf pindaan akta terbabit sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara. Selepas pindaan diluluskan, Malaysia akan menyerahkan surat cara ratifikasi atau 'instrument of ratification' kepada Sekretariat ASEAN.

"Sebagaimana termaktub dalam Perenggan 3 Artikel 20.6 Perjanjian RCEP, 60 hari selepas tarikh surat cara ratifikasi dihantar ke Sekretariat ASEAN, Perjanjian RCEP akan berkuat kuasa ke atas Malaysia," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung status penyertaan Malaysia dalam RCEP memandangkan ia akan berkuat kuasa secara rasmi menjelang 1 Januari tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pindaan itu dijadual dibentangkan pada bulan depan, dan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN akan dihantar selepas mendapat persetujuan Parlimen.

"Inilah komitmen kerajaan untuk meratifikasi Perjanjian RCEP selewat-lewatnya pada hujung tahun ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan, nilai eksport negara dijangka bertambah sebanyak RM44 bilion setahun apabila RCEP berkuat kuasa.

"Hingga 2 November lalu, sebanyak 10 negara iaitu China, Singapura, Laos, Kemboja, Thailand, New Zealand, Jepun, Australia, Vietnam dan Singapura, sudah meratifikasi RCEP.

"Berikutan perkembangan itu, negara anggota RCEP telah melengkapkan syarat minimum ratifikasi dan dengan ini, tarikh berkuat kuasanya Perjanjian RCEP ialah pada 1 Januari 2022," katanya.

Beliau menjelaskan, penguatkuasaan itu bagaimanapun hanya terpakai ke atas 10 negara berkenaan.

Berita Harian X