Khamis, 25 November 2021 | 12:06pm

Antilompat parti, tempoh jawatan PM ke Parlimen sebelum Julai

KUALA LUMPUR: Perundangan berkaitan akta antilompat parti dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, akan dibawa ke Parlimen sebelum Julai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kedua-dua perkara itu memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci, sekali gus tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

"Mesyuarat pada 30 September lalu yang membabitkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain, bersetuju bahawa perkara itu perlu dikaji lebih teliti, terutama dari segi parameter, kandungan dan implikasi pindaan terbabit.

"BHEUU bersama Jabatan Peguam Negara serta pihak berkepentingan lain akan mengkaji perkara itu. Dapatan awal akan dikemukakan kepada saya pada penghujung bulan ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung perkembangan terkini Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lalu.

Seterusnya, Wan Junaidi berkata, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik pula akan dilaksanakan sebelum 31 Disember depan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri dan Mahkamah Tinggi di Kuching.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengambil tindakan segera untuk melaksanakan perkara berkenaan.

"SPR sudah melakukan pindaan pada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, serta penyediaan prosedur operasi standard (SOP), sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik.

"Cadangan pengecualian pelaksanaan pengundian 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik kepada Raja Memerintah, Waris Takhta dan Tuan Yang di-Pertua Negeri bersekali dengan pasangan masing-masing, perlu mendapat pandangan daripada kerajaan negeri dan BHEUU Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mengumpulkan maklumat terbabit," katanya.

Mengenai pembaharuan Parlimen, beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2022 dan RUU Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dijangka dibentangkan pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat, Mac tahun depan.

"Satu perbincangan dalaman diadakan oleh Parlimen bagi meneliti draf RUU Perkhidmatan Parlimen 2022 yang disemak Jabatan Peguam Negara. Draf itu akan dikemas kini dan ditambah baik susulan perbincangan serta libat urus bersama agensi berkaitan.

"Sesi perbincangan dan libat urus akan diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan bagi membincangkan penubuhan Perkhidmatan Parlimen serta isu berkenaan perjawatan dan kewangan," katanya.

Berhubung kebebasan badan kehakiman pula, beliau menegaskan adalah penting untuk memastikan ia dilaksana sepanjang masa, termasuk Transformasi Institusi Dan Tatakelola Kerajaan Yang Baik, demi keadaan lebih kondusif kepada rakyat dan negara.

"Ingin ditegaskan, saya berdiri di sini menjadi saksi, supaya diberi ruang luas kepada Peguam Negara. Malah, saya sendiri memberitahu Kabinet supaya jangan mengganggu tugas Peguam Negara," katanya.

Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Wan Junaidi memberi jaminan bacaan kedua pindaan Perlembagaan berhubung perkara itu akan dilakukan pada awal bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Berita Harian X