Rabu, 24 November 2021 | 7:48pm
Ismail Sabri bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyapa penduduk setempat ketika bersarapan di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah pada 11 November lalu. - Foto Asyraf Hamzah/BH
Ismail Sabri bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyapa penduduk setempat ketika bersarapan di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah pada 11 November lalu. - Foto Asyraf Hamzah/BH

Rakyat Melaka yakin kepemimpinan Ismail Sabri

Kuala Lumpur: Populariti Perdana Menteri, kelonggaran pergerakan dan pembukaan sektor ekonomi dikenal pasti antara faktor penyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Demikian hasil penelitian firma penyelidikan bebas, Ilham Centre, bersandarkan tinjauan menerusi teknik persampelan rawak berstrata, dari 23 Oktober hingga 15 November lalu membabitkan 1,051 responden mewakili pelbagai kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata antara aspek yang diperhalusi adalah tahap keyakinan rakyat di negeri itu terhadap kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri.

Hisommudin berkata, responden Melayu mencatatkan peratusan tahap kepercayaan tertinggi iaitu 80 peratus, diikuti India iaitu antara 65 hingga 70 peratus dan sekitar 60 peratus bagi masyarakat Cina.

"Secara perkiraan merentasi pelbagai kaum, kita dapati kepercayaan rakyat Melaka terhadap kepemimpinan Perdana Menteri ialah 51 peratus dan ia suatu perangkaan yang melepasi paras berpuas hati.

"Rata-rata memperakui kemampuan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan ia menjadi antara penyumbang faktor kestabilan yang diingini rakyat Melaka," katanya kepada BH, semalam.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu menyaksikan BN melakar kemenangan bergaya apabila berjaya menawan dua pertiga daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Meskipun berdepan sekurang-sekurangnya saingan tiga penjuru, calon diketengahkan BN meraih undi tertinggi di 21 DUN, masing-masing 18 menerusi UMNO, MCA (dua) dan satu oleh MIC.

Perikatan Nasional (PN) pula mendapat dua kerusi DUN melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), manakala Pakatan Harapan (PH), masing-masing empat oleh DAP dan satu daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).

 Pengundi menjalankan tanggungjawab dengan mengundi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar pada PRN Melaka, Sabtu lalu. - Foto Asyraf Hamzah/BH
Pengundi menjalankan tanggungjawab dengan mengundi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar pada PRN Melaka, Sabtu lalu. - Foto Asyraf Hamzah/BH

Selepas tiga bulan sejak mengangkat sumpah jawatan, Hisommudin berkata, rakyat Melaka berpendapat bahawa kurang kontroversi yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.

Kepada persoalan mengenai kelonggaran pergerakan dan pembukaan sektor ekonomi, katanya, penerimaan dizahirkan rakyat di negeri terbabit adalah baik, namun bimbang seandainya PRN Melaka bakal mengundang gelombang penularan jangkitan baharu seperti di Sabah sebelum ini.

"Dalam konteks sebagai Perdana Menteri, mandat kepada BN diyakini berupaya mewujudkan kestabilan, tetapi sukar nak ukur dari segi kempen kerana tidak 'panas' seperti mana-mana pilihan raya sebelum ini," katanya.

Berita Harian X