Rabu, 24 November 2021 | 7:36pm
Zuraida pada persidangan di Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Zuraida pada persidangan di Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA

Malaysia bentang kedudukan industri sawit negara di WTO Januari

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan membentangkan laporan kedudukan industri sawit negara pada sesi pendengaran susulan tindakan diambil Malaysia ke atas Kesatuan Eropah (EU) berhubung kempen antiminyak sawit, Januari tahun depan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata beliau akan mewakili Malaysia untuk membentangkan laporan itu pada persidangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) nanti.

Buat masa ini, beliau berkata, sudah ada sesi perbincangan secara maya berhubung perkara itu.

"Secara kebetulan, semalam ada pertemuan wakil EU dengan kementerian di mana nada mereka lebih 'lembut' berbanding dalam laporan media yang dilihat sangat keras terhadap isu sawit ini.

"Pendekatan kita selepas ini ialah mengadakan lebih banyak hubungan dan libat urus dengan EU serta Amerika Syarikat (AS) mengenai kempen antisawit dan isu buruh paksa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi KPPK di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti membabitkan peruntukan RM417,482,300 bagi Perbelanjaan Mengurus Belanjawan 2022.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia memulakan tindakan undang-undang ke atas EU serta negara anggotanya, iaitu Perancis dan Lithuania, dengan memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) bawah WTO, Januari lalu.

Tindakan undang-undang berkenaan adalah susulan langkah dikenakan EU dan negara anggotanya itu berkaitan pelaksanaan 'Delegated Regulation' bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II) yang memberi kesan kepada industri sawit negara.

Zuraida menjelaskan pada masa sama, KPPK juga sudah mengemukakan permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak EU, awal Januari depan, bagi memberi penjelasan mengenai industri sawit negara.

"Penjelasan itu penting kerana EU tidak mendapat perkembangan terbaru mengenai industri sawit kita.

"Ada banyak tuduhan tidak benar diberi kepada pihak EU melalui andaian sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdasarkan satu dua aduan yang tidak sah.

"Justeru, kementerian akan menjelaskan perkara itu dan mengukuhkan hubungan dengan EU supaya mereka memahami kedudukan sebenar industri sawit kita," katanya

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementerian akan mewujudkan dasar khusus bagi perumahan perladangan kerana perkara berkenaan menjadi antara isu dipertikaikan kumpulan antiminyak sawit.

"Hakikatnya, mereka tidak tahu aktiviti sawit di negara ini sentiasa mengambil kira isu kemampanan dan mematuhi standard antarabangsa.

"Pada masa sama, kementerian turut berusaha mempertingkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta penggunaan teknologi, dan mengukuhkan strategik rakan kongsi serta menambah baik industri huluan dan hiliran sawit," katanya.

Berita Harian X