Rabu, 24 November 2021 | 6:39pm
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Peruntukan RM57.39 juta perkasa kawasan pelancongan

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM57.39 juta diperuntukkan kepada 50 projek bagi membaik pulih, memulihara dan memperkasakan kawasan pelancongan di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berkata ia meliputi kawasan pelancongan di luar bandar dan bandar.

Tahun ini, beliau berkata, peruntukan diterima bawah bajet pembangunan bagi tujuan itu ialah sebanyak RM153.8 juta.

"Selain itu tahun ini juga, kementerian diperuntukkan RM20 juta bagi tujuan Pemerkasaan Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.

"Salah satu komponen peruntukan itu adalah bagi 75 projek Penyelenggaraan Kemudahan Pelancongan Termasuk Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tapak/Bangunan Warisan yang berjumlah RM10.23 juta," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai peruntukan digunakan bagi membaik pulih, memulihara dan memperkasakan kawasan pelancongan luar bandar.

Santhara berkata, melalui Belanjawan 2021, kementerian turut diperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur serta mempergiatkan promosi Kampung-Kampung Budaya di empat negeri, iaitu Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, katanya, kementerian sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan infrastruktur kemudahan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan standard dan kualiti perkhidmatan serta produk pelancongan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Beliau berkata, tarikan eko-pelancongan khususnya tertumpu di luar bandar dan inisiatif berterusan akan diadakan.

"Kita akan terus mempromosikan segmen pelancongan luar bandar melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia, platform media sosial Tourism Malaysia termasuk Facebook, dan pengunaan platform digital serta elektronik seperti www.malaysia.travel," katanya.

Berita Harian X