Rabu, 24 November 2021 | 6:30pm
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid (tiga, kanan) beramah mesra bersama penerima khas Pingat Ketua Pengarah (PKP) pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM Tahun 2020, turut kelihatan (dari kiri) bekas Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health Tan Sri Jemilah Mahmood, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim - Foto BERNAMA.

20 PPS khusus untuk mangsa banjir dijangkiti COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 20 pusat pemindahan sementara (PPS) khusus untuk menjalani isolasi serta menempatkan kes positif COVID-19 di kawasan yang terjejas banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya akan memastikan PPS yang itu mampu menampung kes positif di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini individu yang dijangkiti COVID-19 akan diasingkan serta menjalani kuarantin di rumah tetapi dengan PPS khas berkenaan, mereka akan ditempatkan di situ.

"Kita akan jalinkan kerjasama dengan beberapa pihak untuk melihat tempat-tempat yang berkemungkinan ada peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"KKM akan mengimbangkan kedua-dua ini untuk memastikan tiada penularan COVID-19 di PPS, selain itu KKM juga akan melaksanakan ujian saringan, tindakan kesihatan awam serta meningkatkan liputan vaksinasi.

"Sekiranya ada individu yang ketinggalan untuk mendapatkan vaksin atau dos penggalak, mereka juga boleh mendapatkan pelalian berkenaan di PPS," katanya kepada pemberita selepas menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) Bomba, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, kebanyakan PPS menggunakan bangunan sekolah dan pihaknya mencadangkan untuk menggunakan aras paling atas untuk menempatkan individu yang bergejala.

"Diharapkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dapat membantu NADMA memberikan data pengesanan rumah yang mempunyai individu menjalani kuarantin atau pesakit COVID-19.

"Dengan cara itu, kita dapat memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah rumah mana yang perlu hantar pasukan khas yang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kerja menyelamat.

"Bagi mangsa banjir yang tidak dijangkiti atau berisiko, kita boleh selamatkan mereka seperti biasa," katanya.

Mengenai majlis berkenaan, selain Dr Noor Hisham dan Aminuddin, turut menerima PKP Bomba ialah mantan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health Tan Sri Jemilah Mahmood dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Selain itu ialah tiga Pengarah Bomba negeri, antaranya Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Pahang, Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa, Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid dan Pengarah JBPM, Kelantan Jainal @Zainal Madasin.

Berita Harian X