Rabu, 24 November 2021 | 5:23pm
Penduduk mengemas barangan rumah selepas dilanda banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan, Ampang, kelmarin. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Penduduk mengemas barangan rumah selepas dilanda banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan, Ampang, kelmarin. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

JPS siasat semua punca banjir kilat

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak menolak kemungkinan projek pembinaan sebuah lebuh raya menjadi antara punca berlakunya banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, kelmarin.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata siasatan kejadian dilakukan meliputi pelbagai aspek termasuk faktor bukan cuaca yang mempengaruhi impak banjir di kawasan kejadian.

"Hujan lebat berterusan dengan bacaan hujan tinggi direkodkan di Stesen Puncak Atheneum, Gombak dengan bacaan 100.5 milimeter (mm) dan Stesen Bukit Antarabangsa, Gombak dengan bacaan 101.5 mm dalam tempoh satu jam.

"Banjir berpunca daripada hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat menyebabkan Sungai Ampang dan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, aras Sungai Ampang melepasi paras bahaya dengan bacaan 63.8 meter, menyebabkan banjir sedalam 0.8 meter di kawasan Kampung Lembah Jaya Utara membabitkan 103 rumah.

"JPS mendapati kerja pembinaan sebuah lebuh raya berkemungkinan mempengaruhi impak banjir kepada penduduk Kampung Lembah Jaya Utara.

"JPS akan memastikan dan mengawal selia segala kawalan kebenaran pembangunan dan pembangunan yang telah diluluskan secara lebih ketat supaya semua pihak mematuhi syarat pembangunan ditetapkan," katanya.

Nor Hisham menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kawasan rendah sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga ketika hujan lebat.

Katanya, maklumat hebahan amaran banjir dan status aras air sungai serta hujan di seluruh negara boleh diakses di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my.

Berita Harian X