Rabu, 24 November 2021 | 5:09pm
MyGPKI melindungi keselamatan maklumat kerajaan dalam talian daripada ancaman keselamatan melalui pengesahan identiti, penyulitan dan tandatangan digital serta meningkatkan tahap kepercayaan pengguna melaksanakan transaksi secara dalam talian bagi sebarang urusan kerajaan. - FOTO Hiasan
MyGPKI melindungi keselamatan maklumat kerajaan dalam talian daripada ancaman keselamatan melalui pengesahan identiti, penyulitan dan tandatangan digital serta meningkatkan tahap kepercayaan pengguna melaksanakan transaksi secara dalam talian bagi sebarang urusan kerajaan. - FOTO Hiasan

MyGPKI sokong inisiatif MyDIGITAL

KEHIDUPAN era digital kini menyaksikan kebergantungan kepada teknologi dan internet meningkat dengan ketara.

Tanpa disedari, evolusi teknologi ini turut mengundang ancaman keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta serangan siber seterusnya mendedahkan masyarakat kepada pelbagai ancaman yang lebih kompleks.

Sebagai agensi bertanggungjawab dalam pelaksanaan e-Government, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) mengaplikasikan teknologi Public Key Infrastructure (PKI) dalam sistem ICT kerajaan sejak 2002 yang mana evolusi sijil digital ini bermula pada 2002 dengan penggunaan kad pintar, ditambah baik secara berterusan sehingga Sijil Digital versi 3.0 dengan ciri-ciri keselamatan lebih baik.

MAMPU menyediakan perkhidmatan membekalkan sijil digital bagi melaksanakan tandatangan digital secara dalam talian yang dikenali sebagai Perkhidmatan Prasarana Kunci Awam Kerajaan (MyGPKI).

Keselamatan digital teras kepercayaan

Sebagai salah satu inisiatif fasa awal transformasi perkhidmatan kerajaan "dari kaunter ke sistem dalam talian automatik", MyGPKI bukan sahaja selamat, memudahkan penyampaian perkhidmatan malah meningkatkan kecekapan operasi.

Ini kerana MyGPKI mengukuhkan keselamatan sistem ICT kerajaan menerusi perkhidmatan PKI dengan membekalkan Sijil Digital Pengguna untuk pengesahan identiti, tandatangan digital dan penyulitan maklumat serta Sijil Digital Pelayan (SSL) kepada agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, pelaksanaan sistem MyGPKI turut membabitkan pembekalan sijil digital oleh Pihak Berkuasa Pemerakuan Berlesen (CA) yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sahaja.

Sistem ini melindungi keselamatan maklumat kerajaan dalam talian daripada ancaman keselamatan melalui pengesahan identiti, penyulitan dan tandatangan digital serta meningkatkan tahap kepercayaan pengguna melaksanakan transaksi secara dalam talian bagi sebarang urusan kerajaan.

Memahami situasi pertumbuhan data yang kian pesat, perkhidmatan MyGPKI akan terus diperluaskan lagi kepada agensi sektor awam terutama agensi barisan hadapan.

Hal ini bagi memantapkan tahap keselamatan sistem ICT dan meningkat tahap keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan selaras dengan inisiatif MyDIGITAL.

Justeru, penting buat penjawat awam dan rakyat Malaysia menguasai era pendigitalan dan meraih peluang yang muncul tanpa kerisauan kerana keselamatan data dan maklumat adalah terjamin.

Untuk maklumat lanjut, layari https://gpki.mampu.gov.my/gpki_portal/

Berita Harian X