Rabu, 24 November 2021 | 4:37pm
Terminal Bas Larkin Sentral adalah hab untuk VTL-Land Malaysia-Singapura di Malaysia - Foto NSTP/FB Larkin Sentral/Foto hiasan
Terminal Bas Larkin Sentral adalah hab untuk VTL-Land Malaysia-Singapura di Malaysia - Foto NSTP/FB Larkin Sentral/Foto hiasan

VTL-Land Malaysia, Singapura dihadkan kepada pengangkutan bas

KUALA LUMPUR: Laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL-Land) di antara Malaysia dan Singapura yang bermula 29 November ini akan dihadkan kepada pengangkutan bas.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, melalui penggunaan pengangkutan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menetapkan kuota harian pengembara adalah tidak melebihi 1,500 orang pada peringkat permulaan.

Mengulas lanjut katanya, perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala di Singapura pula adalah di Terminal Queen Street (QST).

"VTL-Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

"Kuota harian pengembara adalah tidak melebihi 1,500 orang pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, menurut Pejabat Perdana Menteri, pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Katanya, selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua negara yang terpisah dengan keluarga akibat pandemik COVID-19 untuk bertemu semula dengan

orang tersayang.

"Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

"Namun pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing," katanya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.

Butiran mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/.

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Sehingga kini, Malaysia dan Singapura sudah mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi

dewasa yang divaksin.

Pencapaian ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

Berita Harian X