Rabu, 24 November 2021 | 3:43pm
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar (empat dari kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (lima dari kiri) menyampaikan cek replika yang melambangkan sumbangan zakat syarikat kepada wakil-wakil Agensi Pungutan Zakat dari 14 buah negeri. - FOTO McDonald’s Malaysia
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar (empat dari kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (lima dari kiri) menyampaikan cek replika yang melambangkan sumbangan zakat syarikat kepada wakil-wakil Agensi Pungutan Zakat dari 14 buah negeri. - FOTO McDonald’s Malaysia

McDonald's Malaysia serah zakat perniagaan RM2 juta

RANGKAIAN restoran khidmat segera, McDonald's Malaysia menyempurnakan tanggungjawab zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia.

Penyerahan zakat bagi tahun 2021 ini adalah jumlah terbesar semenjak McDonald's Malaysia mula menunaikan zakat perniagaan lima tahun lalu, selepas syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi yang berjumlah RM6.5 juta secara keseluruhan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan Mcdonald's Malaysia, Azmir Jaafar, berkata  ia akan diagihkan secara sama rata mengikut jumlah restoran di negeri berkenaan dan diharapkan dapat membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam keadaan hidup yang penuh dugaan ini.

"Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan adalah nilai teras McDonald's Malaysia, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan zakat.

"Inisiatif sebegini tetap menjadi komitmen syarikat kami sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan," katanya ketika Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan McDonald's Malaysia Peringkat Nasional 2021 yang diadakan di McDonald's Presint 2, Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama menyaksikan majlis penyampaian zakat kepada wakil daripada kesemua 14 Agensi Pungutan Zakat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Azmir berkata, McDonald's Malaysia adalah entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP pada tahun 2019.

Selain itu, pada Oktober 2020, McDonald's Malaysia juga menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor.

"Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat melengkapi Pensijilan Halal yang sedia dimiliki McDonald's Malaysia.

"Halal di McDonald's Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal, sehingga kebersihan restoran dan program komuniti yang syarikat turut serta," katanya.

Azmir menekankan bahawa pemberian sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan adalah sebahagian daripada teras utama kepada tujuan dan hasrat McDonald's. - FOTO McDonald's Malaysia

Azmir berkata, McDonald's Malaysia adalah antara restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pembabitan aktif syarikat ini dalam pelbagai program halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.

Untuk memastikan standard Halal yang ketat sentiasa dipatuhi di McDonald's Malaysia, syarikat ini membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013 untuk memantau pematuhan penuh secara menyeluruh.

Sementara itu, pihaknya turut menyasarkan pembukaan 500 restoran sehingga 2026 dan bakal memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda di negara ini.

"Setakat ini kita mempunyai 10,000 pekerja yang terdiri daripada 100 peratus rakyat Malaysia. Lima tahun akan datang kita menyasarkan 55,000 pekerja bakal diserap dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Berita Harian X