Rabu, 24 November 2021 | 3:39pm
Siti Zailah pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Siti Zailah pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA

Pengantunan seksual jadi kesalahan jenayah bawah Akta Kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Pengantunan seksual atau 'sexual grooming' kini sudah dimasukkan ke dalam Akta Kanak-kanak sebagai satu kesalahan jenayah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata bawah akta itu, pesalah boleh dihukum penjara hingga lima tahun dan dikenakan sebatan.

"Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 telah digubal bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan mereka, serta mengadakan pencegahan berkesan bagi kesalahan seksual terhadap golongan itu.

"Kesalahan pengantunan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai 'child grooming' telah dimasukkan ke dalam akta ini dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dihukum sebat.

"Akta ini bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri," katanya menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Maria dalam soalannya mahu mengetahui kesediaan kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi menjadikan 'sexual grooming' satu jenayah di Malaysia.

Secara umum, pengantunan seksual ialah sejenis kegiatan jenayah, termasuk melalui Internet, yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan dengan tujuan memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual.

Menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (BEBAS-Tebrau) mengenai kumpulan kanak-kanak yang terdedah dan langkah diambil untuk mengatasinya, Siti Zailah menjelaskan, kes itu membabitkan semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Beliau berkata, antara cabaran terbesar menangani isu berkenaan membabitkan penggunaan media sosial.

"Justeru, kita mahukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa.

"Berdasarkan satu kajian, hanya 34.4 peratus daripada ibu bapa yang menggunakan aplikasi kawalan Internet.

"Ini bermakna masih ramai yang kurang sedar akan kesan jenayah ini (sexual grooming). Tugas ini bukan terletak di bahu kementerian saja tetapi tanggungjawab bersama semua pihak dan masyarakat," katanya.

Berita Harian X