Rabu, 24 November 2021 | 2:27pm
Mahdzir Khalid ketika melancarkan buku Pelan Strategik Pendigitalan KPLB 2021-2025 ketika Majis Perhimpunan Bulan November 2021 serta Sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Strategik Pendigital KPLB 2021-2025 di Putrajaya.
Mahdzir Khalid ketika melancarkan buku Pelan Strategik Pendigitalan KPLB 2021-2025 ketika Majis Perhimpunan Bulan November 2021 serta Sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Strategik Pendigital KPLB 2021-2025 di Putrajaya.

RM28 juta bangunkan Pelan Strategik Pendigitalan

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM28 juta bagi membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pelan pembangunan PSPKPLB 2021-2025 itu membabitkan visi, hala tuju strategik dan rangka pelaksanaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi jangka masa lima tahun.

Beliau berkata, pelan itu menyusun semula penyampaian perkhidmatan digital kementerian dengan menggariskan empat teras.

Empat teras itu, katanya, adalah pemantapan perkhidmatan digital bersepadu dan inklusif, pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat, pemerkasaan pembudayaan dan profesionalisme teknologi maklumat (ICT) dan tadbir urus ICT tuntas dan mampan.

"Teras strategik ini disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan, disusuli dengan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa supaya sentiasa selari dengan aspirasi kementerian dan kerajaan secara amnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Pelan Strategik Pendigitalan KPLB 2021-2025 di kementeriannya, di sini, hari ini

Yang turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pelan strategik itu menunjukkan kementerian turut menjadi pemacu kepada agenda Kerajaan Digital yang mampan, ke arah membentuk masyarakat digital.

Katanya, KPLB juga bercadang meningkatkan capaian Internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjelang pertengahan tahun depan.

"Perkara ini sedang dibincangkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjayakan program ini," katanya.

Berita Harian X