X
Selasa, 23 November 2021 | 8:15pm
KPTM Semporna.
KPTM Semporna.

KPTM Semporna tutup tahun depan

KUALA LUMPUR: Operasi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna di Sabah akan ditutup sepenuhnya pada 31 Julai 2022 dengan kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berkata, ia berikutan penurunan pengambilan penuntut yang ketara setiap tahun, selain isu keselamatan di Semporna yang turut menyumbang kepada kekurangan penuntut di kampus itu.

Dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, KPLB memaklumkan, KPTM Semporna mula beroperasi pada 2010 dan menawarkan pengajian dalam peringkat diploma dengan kapasiti 600 penuntut.

"KPTM Semporna merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM28.5 juta sejak mula beroperasi pada 2010 sehingga kini, dengan purata kerugian tahunan sebanyak RM2.45 juta.

"Kerugian ini disebabkan oleh jumlah pengambilan pelajar baharu yang tidak mencapai sasaran dan kos operasi yang tinggi," kata kementerian itu menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) yang ingin kepastian mengenai penutupan KPTM Semporna serta sebabnya.

KPLB berkata, ketika ini seramai 169 penuntut sedia ada yang akan menamatkan pengajian secara berperingkat dengan baki 18 penuntut akan menamatkan pengajian pada Julai tahun depan.

"Pelajar yang tidak dapat menamatkan pengajian berdasarkan semester sebenar akan ditawarkan untuk menyambung pengajian sama di cawangan KPTM di Semenanjung.

"Staf KPTM Semporna berstatus tetap ditawarkan untuk berpindah ke cawangan KPTM di Semenanjung, atau memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

"KPTM memperuntukkan RM1.33 juta untuk elaun perpindahan staf dan pampasan VSS," kata KPLB. – BERNAMA

Berita Harian X