Selasa, 23 November 2021 | 8:12pm
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintendan Azhar Hashim (dua kiri) bersama Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Asisten Komisioner Rosman Kasman (dua kanan) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas sepanjang penugasan Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintendan Azhar Hashim (dua kiri) bersama Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Asisten Komisioner Rosman Kasman (dua kanan) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas sepanjang penugasan Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli

4 tan ketum dirampas di sempadan M'sia-Thai

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 merampas 4,003 kilogram (kg) daun ketum yang dianggar bernilai RM120,870 sepanjang penugasan Op Benteng COVID-19 di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Kedah dan Perlis antara 24 Oktober lalu hingga semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara Superintendan Azhar Hashim, berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut menahan enam pendatang asing tanpa izin warga Myanmar dan Thailand berumur 25 hingga 60 tahun di kawasan Bukit Kayu Hitam.

Turut ditahan sepanjang penugasan itu ialah seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang menceroboh pagar sempadan di kawasan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Padang Besar, Perlis.

"Batalion 3 berjaya merekodkan 15 kes terutama membabitkan aktiviti penyeludupan daun ketum terutama di kawasan Wang Kelian, Chuping dan Padang Besar di Perlis.

"Kita juga dibantu Unit Berkuda dan Pasukan Gerakan Udara PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang terbukti berjaya mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara apabila hanya ada satu kes sahaja yang berlaku di kawasan rondaan unit ini," katanya dalam sidang media, hari ini.

Azhar berkata keadaan itu jelas membuktikan kerjasama antara pelbagai unit yang melakukan pengawasan berjaya mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan terutama di kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti.

Mengulas mengenai modus operandi penyeludup ketika ini, beliau berkata sindiket kini beralih ke kawasan berbukit di Wang Kelian dan Padang Besar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Sindiket dah tukar taktik apabila di Kedah hanya membabitkan penyeludupan pendatang asing dan di Perlis lebih kepada menyeludup ketum terutama di Wang Kelian disebabkan kawasan berbukit tinggi kerana itu kita perlukan Unit Berkuda yang boleh memasuki kawasan hutan, kebun dan kawasan berbukit," katanya.

Beliau berkata kesemua pendatang asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63.

– BERNAMA

Berita Harian X