Selasa, 23 November 2021 | 7:27pm
Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Tan Sri SA Vigneswaran. - Foto NSTP
Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Tan Sri SA Vigneswaran. - Foto NSTP

Hadi, Vigneswaran duta khas dilantik oleh PM

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Barat dan Tan Sri SA Vigneswaran sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, pelantikan itu adalah sebagai utusan khas Perdana Menteri yang mana tugas, gaji, laporan, pejabat berkaitan perkhidmatan di bawah kelolaan Pejabat Perdana Menteri.

"Justeru adalah lebih baik isu berkaitan pelantikan duta khas ini lebih sesuai di jawab oleh Jabatan Perdana Menteri," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Luar, hari ini.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Luar diluluskan membabitkan peruntukan RM760 juta bekalan Perbelanjaan Mengurus serta Perbelanjaan Pembangunan Bajet 2022.

Perkara itu putuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menerusi undian suara majoriti selepas 14 ahli Dewan Rakyat berbahas peringkat jawatankuasa RUU itu.

Mencelah ketika sesi penggulungan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut bertanyakan mengenai gaji Vigneswaran mencecah RM50,000 sebulan sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Kamaruddin berkata, beliau tiada maklumat kerana pelantikan itu kerana ia di bawah JPM.

Sementara itu, mengulas penggunaan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa di luar negara, katanya, kementerian itu tidak ada masalah untuk menteri dan mana-mana perwakilan negara dalam memilih menggunakan apa saja bahasa termasuk bahasa Melayu.

"Terpulang kepada mereka memilih menggunakan bahasa Inggeris, Perancis atau Arab atau bahasa lain.

"Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan bahasa Melayu dalam sidang kemuncak iklim COP26 satu keputusan yang baik dan berani serta kami berbangga dengan langkah di persidangan yang besar itu," katanya

Menjawab cadangan dan pertanyaan mengenai hubungan Malaysia dengan Singapura, katanya sememangnya dasar luar Malaysia mahu mewujudkan hubungan yang baik dengan semua negara bukan hanya Singapura dan Indonesia saja.

"Selepas melawat Indonesia dua minggu lalu, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan ke Singapura dalam tempoh terdekat...seminggu dua lagi.

"Selain sebagai lawatan rasmi kedua, turut bakal dibincangkan mengenai hubungan baik kedua negara serta kerjasama dalam hal berkaitan laluan perjalanan vaksinasi (VTL) bagi pengembara antara kedua-dua negara," katanya

Berkaitan dengan hubungan dengan Afghanistan, katanya seperti yang sudah dimaklumkan, Malaysia akan memastikan negara itu dapat dibangunkan dalam konteks mengamalkan demokrasi, mengutamakan hak manusia dan hak wanita.

"Malaysia akan memberi bantuan kemanusiaan dan membantu pembangunan infrastruktur di negara itu seperti pembangunan semula lapangan terbang," katanya.

Terdahulu, seramai 16 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) meminta Malaysia meneruskan hubungan yang baik dengan Singapura kerana negara itu jiran terdekat dan beebrapa kepentingan yang sama.

Katanya, ini juga kerana seramai 500,000 pekerja Malaysia bekerja di Singapura yang sebelum kes COVID-19 kebanyakannya berulang alik ke negara berkenaan.

"Selain itu, Singapura juga adalah sumber pelaburan utama pelancongan negara dengan 52 peratus rakyat negara itu melancong ke Malaysia setiap tahun antara yang terbesar dari segi jumlah pelawat masuk ke negara ini," katanya.

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) membangkitkan keperluan menyediakan kursus pelbagai bahasa untuk perwakilan Malaysia ke luar negara supaya memudahkan mereka bertugas ke luar negara dan mengenai pelantikan Hadi sebagai duta khas ke Asia Barat.

"Apa keperluan pelantikan duta khas dan bagaimana dengan peruntukan dan perbelanjaan untuk pelantikan ini," katanya.

Berita Harian X