Selasa, 23 November 2021 | 7:15pm
Foto hiasan
Foto hiasan

152 pelajar keracunan makanan

SEREMBAN: Kantin Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Aishah Rohani, di sini diarah tutup susulan 152 pelajarnya mengalami gejala keracunan makanan termasuk muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas makan di situ, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pelajar berkenaan sudah dibawa ke hospital berdekatan serta-merta bagi menerima rawatan.

"Semua kes dirawat sebagai pesakit luar di beberapa pusat kesihatan termasuk Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selain Klinik Kesihatan Daerah serta klinik swasta dan berada dalam keadaan stabil.

"Tindakan kawalan wabak diambil pada hari sama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, pemeriksaan di premis dan aktiviti persampelan sudah dijalankan. Sampel klinikal daripada kes, sampel makanan dan sampel persekitaran diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

"Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca keracunan makanan ini. Tindakan penutupan tempat penyediaan makanan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelak berlakunya pertambahan kes baharu dari punca premis sama," katanya.

Veerapan berkata, pendidikan kesihatan diberikan kepada semua pelajar terbabit serta pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama sekolah.

Berita Harian X