KUALA LUMPUR: PAS menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menentukan waktu sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Menteri dianggotai pemimpin daripada pelbagai parti dalam kerajaan akan berbincang mengenainya apabila tiba masanya.
"Keputusan mesti datang dari Kabinet dan bukan dari mana-mana parti politik. Kerajaan akan tentukan bila masa sesuai dengan mengambil kira semua keadaan.
"Kita masih lagi dalam fasa menuju endemik sekarang dan biarkan kerajaan buat keputusan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Tarif Elektrik Hijau di sini, hari ini.
Beliau mengulas cadangan UMNO yang berhasrat berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyatakan pandangan supaya PRU-15 disegerakan.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata UMNO berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sementara itu apabila diminta mengulas mengenai PRN Melaka, Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, beliau melihat pilihan raya itu sebagai sesuatu yang positif dan satu formula politik yang baharu di Malaysia.
Katanya, ia berikutan di peringkat Pusat, parti dari Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dapat bekerja secara bersama dalam satu kerajaan tetapi ketika PRN Melaka, 'berlawan' sesama sendiri secara sihat.
"Bagi saya ini satu formula politik dan amalan demokrasi yang baik. Bagaimanapun, apabila rakyat buat keputusan sebagaimana yang dilihat, kita terima ia sebagai satu keputusan amalan politik yang sihat.
"Jika perlu suatu rekonsiliasi yang baharu dalam amalan politik ini, kita akan pertimbangkan. Semua orang perlu positif dalam apa juga keadaan.
"Bagi saya dalam politik ini tujuannya untuk mencapai kestabilan dalam negara dan apa sahaja amalan membawa kepada kestabilan negara, itu juga membawa kepada amalan yang baik," katanya.
Keputusan PRN Melaka Sabtu lalu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, DAP dan AMANAH menang lima kerusi, manakala PN mendapat dua kerusi.