Selasa, 23 November 2021 | 5:45pm

Sisa putih melekat pada pokok bakau Sungai Masai

PASIR GUDANG: Tompokan sisa berwarna putih yang mencemari Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru di sini sejak Jumaat lalu, didapati melekat pada pangkal pokok bakau di sungai berkenaan serta kelengkapan nelayan yang berlabuh di situ.

Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad, berkata tinjauan pihaknya mendapati tompokan berkenaan jelas kelihatan.

Beliau berkata, ia bukan saja melekat pada enjin bot nelayan dan peralatan menangkap ikan, malah ratusan pangkal pokok bakau di pesisir kuala sungai berkenaan.

Pihaknya khuatir pencemaran berkenaan berpanjangan dan meninggalkan pelbagai kesan buruk sama ada kepada ekosistem, mahupun ekonomi kumpulan nelayan.

"Sudah lima hari nelayan tidak dapat meneruskan kegiatan menangkap ikan kerana pukat dan jaring tercemar akibat tompokan putih itu.

"Walaupun dicuci berulang kali kesannya sukar hilang. Sehingga kini kami juga tidak melihat atau dimaklum sebarang tindakan susulan oleh pihak berkaitan dan ia menimbulkan tanda tanya sehingga bila masalah ini berlarutan," katanya selepas tinjauan itu hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya mempercepatkan tindakan.

Beliau berkata, sekiranya permasalahan berkenaan tidak ditangani, mungkin ia berulang.

"Sebagai nelayan tradisional, kami kecewa kerana perairan ini sentiasa menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

Pencemaran di Sungai Masai berlaku sejak Jumaat lalu mengundang kebimbangan penduduk dan kumpulan nelayan. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pencemaran di Sungai Masai berlaku sejak Jumaat lalu mengundang kebimbangan penduduk dan kumpulan nelayan. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Kami juga memiliki keluarga dan tanggungan, sekiranya tidak dapat ke laut. Diharap JAS dapat mengenal pasti pihak yang melakukan perbuatan berkenaan dan ambil tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, ketika dihubungi menjangkakan keputusan analisa sampel pencemaran sungai berkenaan akan diperoleh dalam masa terdekat.

"Siasatan awal dapati pencemaran berkenaan bukan berpunca secara semula jadi. Kita perlu siasat dan dapatkan maklumat lebih terperinci memandangkan apa kita lihat (bahan) ini adalah beza daripada kejadian pencemaran yang lalu, ia menyamai serbuk," katanya.

Pencemaran di Sungai Masai berlaku sejak Jumaat lalu mengundang kebimbangan penduduk dan kumpulan nelayan.

Sungai Masai sebelum ini dikenali sebagai sungai kopi-o kerana berwarna hitam dipercayai akibat pencemaran sisa kumbahan.

Selepas isu sungai hitam selesai, pencemaran sungai berkenaan berulang apabila terdapat tompokan berwarna putih yang turut berbau.

Ia dikhuatiri menjejaskan kehidupan laut dan fauna serta kesihatan penduduk sekitar.

Kesan-kesan berwarna putih pada tebing sungai disebabkan pencemaran di Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Kesan-kesan berwarna putih pada tebing sungai disebabkan pencemaran di Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Tompokan sisa berwarna putih yang mencemari Sungai Masai melekat pada pangkal pokok bakau. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Berita Harian X