Selasa, 23 November 2021 | 4:33pm

Isu MITRA terus kuasai perbahasan Kementerian Perpaduan Negara

KUALA LUMPUR: Isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menguasai sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 bagi Kementerian Perpaduan Negara.

Kebanyakan penyokong kerajaan dan wakil pembangkang yang berbahas menyentuh isu berkenaan selain membangkitkan keperluan penambahan peruntukan untuk kementerian.

Seorang penyokong kerajaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim (BN-Baling) berkata, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dinasihatkan supaya tidak gentar dengan desakan pihak pembangkang yang sentiasa 'bising' dalam isu MITRA.

"Teruskan usaha membantu rakyat tidak perlu gentar dengan desakan kumpulan sebelah sana (pembangkang).

"Bagi rakan di sebelah sana, kita perlu memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membuat kerja mereka dan tidak lama Peguam Negara akan membuat pertuduhan kerana kes siasatan sudah selesai

"Jangan putus asa, apa yang mereka bangkitkan kerana kebimbangan mengenai ketirisan. Cekalkan dan kuat semangat dan berjuang untuk minta tambahan peruntukan bagi membantu masyarakat India," katanya.

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) mahu isu MITRA dijawab Menteri dan tidak berselindung dengan menyatakan kes masih disiasat SPRM.

Katanya, pendedahan kes penyelewengan dana MITRA perlu didedahkan kerana ini membabitkan kepentingan awam.

"Siasatan SPRM sepatutnya tidak dijadikan alasan Menteri berselindung untuk menjawab soalan. Jangan lindungi di sebalik selimut SPRM.

"Kita mahu selepas ini diwujudkan jawatankuasa penilaian dan pemantau MITRA untuk kita semak dan imbang peruntukan diberikan kepada ," katanya.

Seorang lagi wakil pembangkang, P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) pula meminta Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional tidak terbabit dalam siastan membabitkan MITRA.

"Ini kerana jabatan itu berada dalam kementerian yang sama.Ini mencerminkan SPRM tidak bersungguh menyiasat mengenai kandungan dokumen membabitkan MITRA," katanya.

Berita Harian X