Selasa, 23 November 2021 | 4:03pm

GPS yakin atasi isu kerusi bertindih

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin isu pertindihan antara parti komponen di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Opar, Mambong dan Bawang Assan dapat diselesaikan dengan semangat setiakawan.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata walaupun tiga kerusi itu secara tradisinya milik Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), ia bukan isu besar dan dapat diselesaikan dengan baik sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

"GPS akan membuat keputusan selepas berunding dan kami boleh menyelesaikannya kerana ia bukan masalah yang besar," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak Pelbagai Bahan Api, SEDC Energy di Bandar Baru Batu Kawa di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, GPS sudah memuktamadkan untuk bertanding di semua 82 kawasan DUN Sarawak dan sebarang pertindihan antara parti komponen akan diselesaikan sebaik mungkin.

Isu pertindihan itu timbul berikutan tercetus khabar angin Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) berminat meletakkan calon di tiga kerusi iaitu Opar, Mambong dan Bawang Assan yang secara tradisinya diperuntukkan kepada SUPP.

Penyandang kerusi DUN Opar iaitu Datuk Ranum Mina dan DUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh kini mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB) ,manakala penyandang DUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil menyertai PBB.

Tiga wakil rakyat itu adalah bekas pemimpin SUPP yang memenangi kerusi masing-masing sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pada 2016, susulan krisis kepemimpinan melanda SUPP ketika itu,

Sementara itu, penyandang DUN Tebedu, Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN-12.

"Saya sudah membuat keputusan, Ketua Menteri menerimanya dan ia muktamad," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kolokium Kepemimpinan Pendidikan di Serian, hari ini.

Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu mewakili PBB sejak 1996.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak Pelbagai Bahan Api, SEDC Energy di Bandar Baru Batu Kawa. - NSTP/NADIM BOKHARI
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak Pelbagai Bahan Api, SEDC Energy di Bandar Baru Batu Kawa. - NSTP/NADIM BOKHARI
Berita Harian X