Selasa, 23 November 2021 | 2:52pm

Lebih 23,000 kes sampingan vaksin, tiada kematian dicatatkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 23,163 laporan kes kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) vaksin dilaporkan berbanding 51,842,386 dos vaksin COVID-19 yang diberikan kepada rakyat negara ini, dalam tempoh 24 Februari lalu sehingga kelmarin.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 535 laporan membabitkan kes serius termasuk kematian dalam kalangan penerima vaksin sepanjang tempoh itu.

"Tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19 yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula sejak 24 Februari lalu.

"Perkara ini disahkan melalui penilaian kasualti hasil bedah siasat kes kematian dalam kalangan penerima vaksin dalam tempoh sama.

"Semua kes yang dikategorikan sebagai serius termasuk kes kematian akan disiasat dengan menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan yang berkenaan," katanya katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai hasil pemantauan Kementerian Kesihatan terhadap penerima vaksin COVID-19 termasuk kes kematian dan kesan negatif yang dikaitkan secara langsung kepada pemberian vaksin.

Aaron Ago menjelaskan laporan penyiasatan diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) untuk penilaian kasualti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin.

Katanya, sepanjang tempoh yang sama sistem pelaporanAEFI dan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati 93.3 peratus kes yang dialporkan membabitkan kes kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di tempat suntikan, demam, pening dan keletihan.

"Daripada jumlah ini, hanya 1,549 laporan dikategorikan sebagai serius iaitu bersamaan 0.03 laporan bagi setiap 1,000 dos yang diberikan, dan mereka ini dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut beberapa hari," katanya.

Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Berita Harian X