Selasa, 23 November 2021 | 2:20pm
Penduduk mengemas semula rumah mereka selepas dinaiki air dalam kejadian banjir kilat malam semalam di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Penduduk mengemas semula rumah mereka selepas dinaiki air dalam kejadian banjir kilat malam semalam di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Air naik mengejut, tidak sempat selamatkan harta benda

AMPANG: "Air naik mengejut. Tak sempat selamatkan barang. Habis semuanya rosak sekelip mata," kata seorang penduduk, Suria Idris yang rumahnya kurang 10 meter dari sungai.

Menurut wanita berusia 52 tahun itu, hujan lebat yang bermula kira-kira jam 4 petang mengakibatkan paras air sungai yang terletak di sebelah rumahnya naik mendadak disertai arus deras.

Ibu tiga anak itu mengakui, bergelut untuk menyelamatkan harta benda kerana perlu mengalihkan ayahnya berusia 77 tahun yang menghidapi asma dan memerlukan bantuan oksigen.

"Air naik mengejut kira-kira jam 7 malam tadi. Paras dada. Selepas dua jam, baru air mula surut sedikit.

"Barang pun tak sempat selamatkan kerana air naik mengejut dan kena bawa ayah ke rumah kakak untuk tempatkan dia di situ kerana tak sihat kerana menghidapi masalah pernafasan seperti asma.

"Pagi ini baru boleh bersihkan rumah penuh dengan selut dan terpaksa buang banyak harta benda yang musnah akibat banjir," katanya kepada BH.

Menceritakan detik cemas rumah digenangi banjir, Rannesah Sutan, 78, berkata air mula masuk di bahagian dapur yang mana sungai terletak di belakang rumahnya.

Penduduk mengemas semula rumah mereka selepas dinaiki air dalam kejadian banjir kilat malam semalam di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Penduduk mengemas semula rumah mereka selepas dinaiki air dalam kejadian banjir kilat malam semalam di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Warga emas itu berkata, dia yang hanya tinggal bersama seorang cucunya keluar dari rumah apabila paras air mula naik mendadak sehingga ke paras pinggang.

"Pada mulanya saya memang tak mahu meninggalkan rumah ini kerana saya ingatkan (paras) air tak naik. Bila begitu banyak air mengalir masuk dalam rumah dari bahagian dapur, baru saya keluar ke tempat selamat.

"Saya cuma sempat capai dompet, dokumen penting seperti kad pengenalan. Yang lain, habis rosak dan diseliputi selut," katanya.

Seorang mangsa Nur Khalisah Shamsul Anuar, 27, berkata rumah yang didudukinya terletak kurang 50 meter dari sungai, dimasuki air berserta selut.

Dia yang tinggal bersama neneknya perlu bermalam di surau yang terletak berhampiran rumahnya, sebelum menunggu banjir surut sepenuhnya.

"Pagi ini baru boleh cuci rumah. Habis rumah dipenuhi selut, ditambah pula banyak harta benda seperti perabut, pakaian, barang elektrik rosak," katanya.

Berita Harian X