Selasa, 23 November 2021 | 12:13pm

743 mangsa di pusat pemindahan sekitar Hulu Langat

AMPANG: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sekitar daerah Hulu Langat susulan banjir yang berlaku, malam tadi.

PPS berkenaan terletak di Pangsapuri Desa Lembah Permai, Ampang; Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Mukim Cheras Batu 10.

Wakil Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Langat, Muhammad Razif Ruba'ai, berkata setakat jam 9 pagi tadi, seramai 743 mangsa di tempat di ketiga-tiga PPS berkenaan.

"PPS Pangsapuri Desa Lembah Permai, Ampang, terdapat 127 keluarga, 630 mangsa dan membabitkan 400 rumah.

"PPS SK Kampung Sungai Serai terdapat 29 keluarga merangkumi 83 mangsa.

"Di PPS Kompleks Penghulu Mukim Cheras Batu 10 membabitkan lapan keluarga merangkumi 30 mangsa," kata Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat itu kepada BH, hari ini.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Ampang hari ini, banjir berlaku di satu kawasan iaitu di Kampung Lembah Jaya Utara.

Banjir berlaku berikutan hujan lebat pada petang semalam.

Hujan lebat yang berlaku pada petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kampung Lembah Jaya Utara dilanda banjir. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Shahril
Hujan lebat yang berlaku pada petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kampung Lembah Jaya Utara dilanda banjir. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Shahril
Berita Harian X