Selasa, 23 November 2021 | 12:01pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP

Ekonomi digital dijangka sumbang 25.5 peratus KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR: Ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjelang 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, katanya kecekapan dan penggunaan teknologi secara berkesan mampu memacu pertumbuhan ekonomi melalui pemerkasaan projek kerjasama awam dan swasta (PPP).

"Ia seterusnya akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, selain menambah baik penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam, serta menggalakkan inovasi serta ekonomi bidangan.

"Memperkukuh perkongsian ini dan menjalin kerjasama baharu dengan sektor swasta akan memastikan Malaysia sebagai destinasi serantau terunggul bagi pelabur, sekali gus mencetuskan pertumbuhan pesat ekonomi digital," katanya ketika merasmikan Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan dan Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Cloud dan Kecerdasan Buatan (AI) Huawei Malaysia, Lim Chee Siong.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia dipercayai mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk mencapai kadar 100 peratus keterangkuman digital, khususnya dalam kalangan masyarakat rentan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ia didorong sumbangan dan sokongan berterusan Huawei Malaysia yang memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dan menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia.

Beliau juga berterima kasih kepada Huawei, selain berharap lebih banyak syarikat akan tampil mengikuti jejak syarikat berkenaan dalam menangani perkara terbabit.

"Malaysia sedang melakar hala tuju ke arah lebih makmur dan negara inklusif, di mana prinsip 'tiada sesiapa yang tertinggal' akan ditegakkan di dalam konsep Keluarga Malaysia.

"Melalui strategi pembangunan bagi lima tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tumpuan kepada pengukuhan pemboleh pertumbuhan akan terus diberi keutamaan, terutama sektor teknologi dan inovasi," katanya.

Perdana Menteri berkata, pandemik COVID-19 juga mempercepatkan proses pendigitalan bagi meringankan cabaran menjalankan perniagaan dalam tempoh sukar tanpa mengganggu kecekapan dan produktiviti.

"Entiti perniagaan perlu tangkas dan fleksibel untuk bertahan ketika tempoh mencabar ini dan ia tak mungkin berlaku tanpa penggunaan teknologi digital, khususnya apabila urusan bersemuka bukan pilihan.

"Justeru, saya gembira dengan pencapaian Huawei Malaysia seperti dipaparkan dalam CSIC yang membantu dalam transformasi digital negara," katanya.

Berita Harian X