PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dan semakan status halal produk luar negara dengan kos RM3.4 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata inisiatif itu merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (International), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).
"Contohnya, melalui MyIHAB, JAKIM dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara yang diiktiraf oleh JAKIM.
"Insya-Allah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 @ Sidang Halal 2021 JAKIM, secara maya, pagi ini.
Ismail Sabri berkata, selain itu JAKIM juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.
Katanya, ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia.
"Antara lain ia membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada JAKIM.
"Pada masa sama, kerajaan akan memberi keutamaan terhadap memperkasakan usahawan halal Bumiputera melalui program bimbingan yang membabitkan beberapa kementerian berkaitan," katanya.
Ismail Sabri berkata, industri halal Malaysia menjadi sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara sehingga mampu menembusi pasaran halal antarabangsa.
"Sehubungan itu, melihat kepada potensi besar industri halal ini, saya menyeru supaya semua agensi, kementerian yang berkaitan dan pemain industri berusaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa," katanya.
Katanya, JAKIM pada Oktober tahun lalu berjaya memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065 menjadikan Halal Malaysia sebagai Badan Pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.
"Akreditasi ini memberikan impak bukan saja kepada produk yang dipersijilkan, bahkan turut menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik," katanya.
Pemerkasaan Pensijilan Halal Malaysia pic.twitter.com/eq9hcHMGre
— Berita Harian (@bharianmy) November 23, 2021
Selain itu, Ismail Sabri berkata, JAKIM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal di semua rantaian susulan pembongkaran kartel daging import yang diimport dari beberapa negara luar, pada akhir tahun lalu.
Beliau berkata, tiga mekanisme bakal dilaksanakan iaitu mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang, mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bawah skim logistik kategori penggudangan.
"Produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bawah skim logistik kategori pengangkutan dan mewujudkan prosedur mandatori pembungkusan semula (repacking) yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia bawah skim produk makanan.
"Kesemua inisiatif ini penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin," katanya.
Pada program sama, Perdana Menteri turut melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.
Beliau berkata, ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara.
Katanya, Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 pula berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman pensijilan halal negara.