Isnin, 22 November 2021 | 9:14pm
Senator Idris Ahmad di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
Senator Idris Ahmad di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA

Sistem Geospatial Tanah Wakaf dibangunkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan membangunkan sistem Geospatial Tanah Wakaf bagi merekod dan memudahkan capaian hartanah wakaf di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata sistem itu berupaya membantu kerajaan membangunkan tanah wakaf pada masa akan datang.

"Kajian Induk Transformasi Pembangunan Hartanah Wakaf di Malaysia yang diterbitkan pada 2013 merekodkan sejumlah 14,356 lot atau 30,888.89 hektar tanah wakaf di Malaysia.

"Bagi memastikan data semua tanah wakaf direkodkan dan mudah dicapai, kerajaan sudah membangunkan sistem Geospatial Tanah Wakaf yang merekodkan semua tanah wakaf," katanya menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Idris berkata, kerjasama semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) amat diperlukan bagi memastikan data membabitkan hartanah wakaf dapat direkodkan dengan lengkap.

"Ini juga akan membantu kerajaan membangunkan hartanah wakaf pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan menubuhkan Majlis Peguam Syariah, beliau berkata perkara terbabit sedang dalam perbincangan.

"Berkaitan perkara membabitkan Majlis Peguam Syariah, maka ia memerlukan dana dan sebagainya. Jika akan dilaksanakan, maka kita akan mohon peruntukan yang diperlukan, jika tidak tahun ini, mungkin pada tahun akan datang," katanya.

Berita Harian X