Isnin, 22 November 2021 | 8:09pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Percepat PRU-15 tak jamin kemenangan besar BN

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat tidak semestinya melakar 'tsunami' kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) seperti diraih di Melaka.

Penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat, sebaliknya berkata Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat sebagai pergerakan politik alternatif kepada BN mempunyai potensi untuk diberikan peluang oleh pengundi.

Jelasnya, hal itu kerana PN sehingga kini konsisten dengan kempen memberi tumpuan untuk memerangi rasuah, tatkala kebanyakan pemimpin UMNO, masih terpalit dengan pelbagai kes mahkamah.

"PRU-15 serta-merta tidak semestinya membawa kemenangan sebesar di Melaka yang menjadi kubu kuat BN sebelum tahun 2018.

"Sekalipun Pakatan Harapan (PH) mungkin hilang banyak kerusi, PN mungkin dapat muncul sebagai alternatif kepada UMNO dan BN di banyak kawasan.

"Kejayaan PN memenangi dua kerusi dan menjadi parti kedua yang meraih undi terbanyak di 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka memberi suatu isyarat baharu.

"Kempen PN yang menumpukan rasuah mungkin berkesan apabila imej UMNO masih tidak dapat dipisahkan dengan Datuk Seri Najib Razak (sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN)," katanya kepada BH, hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, hari ini dilaporkan berhasrat untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyatakan pandangan supaya PRU-15 disegerakan.

UMNO dikatakan mengambil pendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum BN yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Meskipun berdepan sekurang-kurangnya saingan tiga penjuru di semua 28 kerusi DUN, BN menawan 21 DUN, masing-masing 18 menerusi UMNO, MCA (dua) dan satu oleh MIC.

Chin Huat berkata, wujud percanggahan kuasa dalam parti dan saluran untuk memuktamadkan keputusan di peringkat Kerajaan Persekutuan, sebelum PRU-15 berupaya dipercepatkan.

Beliau berkata, pembubaran Parlimen adalah prerogatif atau hak mutlak Perdana Menteri yang lazimnya diputuskan dan dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam konteks ini, Datuk Seri Ismail Sabri yang menyandang tugas Perdana Menteri dan mempunyai prerogatif membubarkan Parlimen hanya Naib Presiden UMNO.

"Perbincangan untuk membubarkan Parlimen turut dibincang di peringkat tertinggi parti, termasuk menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Dewan Tertinggi BN.

"Justeru, yang menentukan hala tuju dan mempunyai suara terakhir ialah presiden dan pengerusi, berbanding sekadar seorang naib presiden," katanya.

"Oleh itu, dengan sokongan PH dan PN (di peringkat kerajaan Persekutuan serta berteraskan memorandum persefahaman kestabilan politik sebelum ini) yang juga tidak mahu PRU-15 terlalu awal, Ismail Sabri akan bertahan serta menolak desakan mempercepat PRU-15," katanya.

Berita Harian X