Isnin, 22 November 2021 | 6:35pm

1,696 anggota bomba positif COVID-19

BUTTERWORTH: Seramai 1,696 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dilaporkan positif COVID-19 dengan dua kematian dicatatkan sejak awal tahun lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata ketika ini ada seramai 68 anggota dan pegawai yang positif COVID-19 sama ada mendapatkan rawatan di hospital, menjalani kuarantin di rumah serta ada juga berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

"Virus ini juga telah mengorbankan dua pegawai kita di Sabah dan Negeri Sembilan. Kita difahamkan kedua-dua mereka bukan mendapat jangkitan ketika bertugas sebaliknya ketika berada dalam komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan, berkata setakat ini 26 peratus daripada 14,500 anggota serta pegawai JBPM di seluruh negara sudah mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19.

"Kita akan pastikan semua anggota serta pegawai mendapatkan suntikan dos penggalak memandangkan pengurusan bencana khususnya banjir pada ketika ini amat mencabar.

Mohammad Hamdan (tengah) sambil diperhatikan Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar (kiri), menyematkan Pingat Cemerlang Bomba (PCB) kepada penerima pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM negeri Pulau Pinang. - Foto NSTP/Danial Saad

Berita Harian X