PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bahan dan punca pencemaran Sungai Masai, di sini.
Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata pencemaran seumpama itu adalah kali pertama berlaku dan pihaknya sudah mengambil sampel sisa ditemui yang menyamai serbuk dan berwarna putih untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pencemaran itu berkemungkinan minyak dan bahan lain, namun apabila sampel diambil ia bersifat seperti serbuk.
"Menurut nelayan, ini kali pertama sungai itu dicemari bahan seperti ini.
"Kami akan meminta kerjasama daripada Jabatan Kimia untuk mempercepatkan siasatan bagi tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, hari ini.
Mohd Famey berkata, JAS juga meminta kerjasama penduduk setempat terutamanya nelayan untuk membuat aduan segera jika kejadian itu berulang.
"Kami juga menerima aduan pencemaran berlaku di Sungai Kong Kong Laut dan kami sedang menjalankan siasatan sama ada ia berkait dengan pencemaran di Sungai Masai.
"Kawasan perebakan pencemaran berkenaan adalah luas dan kami yakin ada lokasi lain turut terjejas," katanya.