Isnin, 22 November 2021 | 2:19pm

'Selesai isu air hitam, kini Sungai Masai dicemari tompokan putih'

PASIR GUDANG: Bagai tiada kesudahan, begitulah keadaan pencemaran terhadap Sungai Masai di sini, yang kini dicemari tompokan berwarna putih sejak Jumaat lalu hingga merisaukan kumpulan nelayan dan penduduk sekitarnya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, berkata pihaknya tidak menyangka permasalahan baharu timbul selepas isu 'sungai hitam' yang berlarutan selama 10 tahun diatasi sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, tompokan putih berkenaan semakin ketara di permukaan air dan ia menyamai tepung dan mengeluarkan bau busuk.

Menurutnya, pencemaran seumpama itu adalah kali pertama berlaku dan pihaknya juga tidak mengetahui punca mahupun kesan akibatnya.

Katanya, sebelum ini sungai terbabit dikenali sebagai sungai 'kopi o' kerana berwarna hitam dipercayai akibat dicemari sisa kumbahan dan hasil tindakan diambil pihak berkuasa akhirnya ia dapat diatasi.

"Tidak sempat kumpulan nelayan menarik nafas lega pencemaran baharu pula berlaku. Kami sudah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mahupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi tindakan lanjut.

"Pencemaran berlaku melumpuhkan kegiatan seramai 250 nelayan kerana mengakibatkan peralatan menangkap ikan termasuk bot, jaring dan sebagainya mengalami kerosakan.

"Malah kami juga khuatir ia mengakibatkan perusahaan kupang terpaksa gulung tikar apabila tompokan berwarna putih juga dilihat di lokasi ternakan.

"Sekiranya ternakan mati, ia boleh mengakibatkan lebih 50 pengusaha kerugian kira-kira RM1.4 juta kerana ia boleh membawa hasil tuaian sebanyak 50,000 tan," katanya di sidang media di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Gudang Baru Mukim Plentong, Daud Saad, berkata permasalahan berkenaan bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan, malah ia juga memusnahkan eko sistem.

Beliau berkata, pihaknya mendapati tompokan berwarna putih juga melekat pada pokok bakau yang turut menjadi habitat hidupan laut.

"Ia secara tidak langsung membimbangkan kira-kira 1,000 penduduk perkampungan sekitar kawasan ini.

"Kami tidak pasti selamat atau tidak bagi memakan hasil tangkapan di kawasan berhampiran lokasi pencemaran dan sehingga kini hampir enam kilometer dikesan memiliki kesan tompokan putih," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad, berkata pihaknya khuatir sisa berkenaan adalah bahan kimia yang boleh memudaratkannya penduduk terutama kumpulan nelayan yang ke laut.

"Kita tidak mahu perkara ini berlarutan dan diharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan berkenaan.

"Sekiranya kita mampu mengekalkan kelestarian alam sekitar termasuk sungai, kawasan ini lebih selamat dan bersih untuk dikunjungi termasuk boleh menjadi tarikan pelancong pada masa depan," katanya.

Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad menunjukkan kesan pencemaran di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru.
Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad menunjukkan kesan pencemaran di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru.
Berita Harian X