Ahad, 21 November 2021 | 9:40pm
Mohamad berucap merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) Kali Ke-6 Sesi 2020, di sini, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Mohamad berucap merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) Kali Ke-6 Sesi 2020, di sini, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

'PRU-15 dalam masa terdekat perlu dipertimbangkan'

SEREMBAN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat supaya mandat baharu dapat diserahkan semula kepada rakyat, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaik saja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam, dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini.

"Saya cakap dengan Perdana Menteri, semalam, kita perlu mempertimbang untuk menyegerakan PRU. Suka atau tidak, kita tunggu hingga Julai tahun depan sebab perjanjian (persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang).

"Ini pun tidak tahulah kerana banyak yang kalah teruk di Melaka... tidak tahulah kalau mereka akan 'pull the plug' (menarik diri).

"Dalam politik apa jua boleh berlaku. Dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, justeru terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) Kali Ke-6 Sesi 2020, di sini, hari ini.

Mohamad menjelaskan, beliau bukan mahu memberi tekanan untuk PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini.

"Namun kalau okey, apa salahnya jika dibandingkan kita perlu tunggu hingga 2023.

"Dapatkan mandat baharu semula dan majoriti yang baik, kemudian semua perlu bersatu padu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, aspek kestabilan politik dan kerajaan yang terkandung dalam manifesto BN ialah antara faktor menyumbang kepada kemenangan bergaya mereka pada PRN Melaka, semalam.

Beliau berkata, rakyat Melaka mahu kestabilan politik bagi membolehkan negeri dan juga negara diuruskan dengan baik serta lancar.

"Saya bersyukur atas kemenangan BN. Ia adalah satu amanah besar supaya kerajaan negeri baharu ini dapat diurus dan ditadbirkan dengan baik serta menjadi harapan rakyat Melaka," katanya.

Mohamad berkata, manifesto digariskan BN itu bukan semata-mata untuk menyedapkan hati pengundi, sebaliknya ia boleh dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata, langkah BN menurunkan 86 peratus calon muka baharu pada PRN kali ini juga dilihat berjaya, yang menyaksikan rakyat Melaka menerimanya dengan baik.

"Kita sedar bahawa yang penting, jangan buat rakyat marah dengan meletakkan orang yang rakyat tidak suka," katanya.

Berita Harian X