KUALA LUMPUR: Kekangan masa dipercayai menjadi punca Kementerian Pendidikan (KPM) merangka jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang dilihat tidak relevan untuk calon peperiksaan tahun ini.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pihaknya memahami bahawa KPM mempunyai justifikasi sendiri berkaitan aturan jadual.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih berharap KPM dapat mempertimbangkan semula jadual dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
"Kita menyedari kekangan pihak KPM dalam aspek masa dalam mengendalikan peperiksaan SPM.
"Namun, ia masih tidak relevan untuk melaksanakan peperiksaan pada Jumaat dan Ahad memandangkan hari peperiksaan masih boleh dianjakkan tanpa mengganggu cuti umum," katanya.
Berdasarkan jadual SPM yang dipaparkan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak beberapa hari lalu, mata pelajaran yang jatuh pada Ahad, 6 Mac adalah Prinsip Perakaunan Kertas 1, 2 dan 4 serta Al-Adab wa Al-Balaghah.
Pada Jumaat, 11 Mac pula mata pelajaran Al-Syariah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Syari'ah Islamiyah, Turath Dirasat Islamiah, Maharat Al-Quran, Bahasa Punjabi, Manahij al-Umum Al-Islamiyah dan Pertanian.
Pada Ahad, 13 Mac pula, Pendidikan Seni Visual – Ujian Melukis, Pendidikan Muzik dan Reka Cipta manakala pada Jumaat, 18 Mac pula Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Semai, Bahasa Arab, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu'asirah dan Turath Bahasa Arab.
Untuk kali pertamanya juga jadual SPM 2021 menyaksikan tarikh peperiksaan yang akan bermula pada 3 sehingga 20 Mac 2022 itu, jatuh pada Jumaat dan Ahad.
Selain itu, tarikh jadual peperiksaan itu turut berada pada cuti akhir penggal 3 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 25 Februari sehingga 20 Mac 2022.
Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini, mendedahkan beliau menerima terlalu banyak mesej aduan daripada calon SPM di laman rasmi akaun Facebook dan Twitter, berkaitan jadual peperiksaan yang terlalu padat.
"Saya lihat jadual mereka daripada 7 sehingga 11 Mac sangat sesak kerana membabitkan subjek teras yang 'back to back'.
"SPM ini adalah peperiksaan yang sangat penting untuk pelajar Malaysia. Their result will determine their next journey to higher institution.
"Bila subjek teras ini back to back, pelajar akan stress sebab tak sempat nak buat ulangkaji. Dah banyak pelajar yang stress sampai ada yang bunuh diri," katanya yang turut diluahkan di laman akaun peribadi Twitter, @SyedSaddiq.
Syed Saddiq berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa SPM 2021 menggunakan silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu dan calon tidak dapat mengulang kaji soalan tahun sebelumnya.
"Ditambah pula dengan 'lockdown' dan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), pembelajaran terkesan akibat tiada peranti dan rangkaian internet untuk belajar.
"Saya mohon KPM untuk meneliti semula jadual peperiksaan SPM. Give them some gap for the core papers. Ini sahaja peluang yang mereka ada sebelum melangkah ke fasa kehidupan seterusnya," katanya.