Ahad, 21 November 2021 | 7:15pm
Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) menyampaikan anugerah Program Komuniti Keluarga Malaysia 'Hogoh Bera 2020' di Bera, hari ini. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) menyampaikan anugerah Program Komuniti Keluarga Malaysia 'Hogoh Bera 2020' di Bera, hari ini. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Wujudkan dana bantu persatuan kebudayaan - Perdana Menteri

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kewangan (MOF) mengadakan perbincangan bagi mewujudkan dana membantu persatuan kebudayaan di negara ini.

Beliau berkata, kebanyakan persatuan kebudayaan berdepan kesukaran untuk menjalankan aktiviti berikutan kekangan dana, sehingga menyebabkan banyak kesenian dan kebudayaan semakin dilupakan generasi muda.

"Lebih banyak program kebudayaan perlu diadakan pada peringkat daerah sebagai acara mingguan, justeru perlu ada tempat khusus untuk memudahkan penggiat seni budaya membuat persembahan mereka.

"Sebagai contoh di Bera, kita ada Dataran Kerayong dan persatuan kebudayaan daerah dengan kerjasama majlis daerah boleh mengatur acara persembahan Kebudayaan tradisi pada setiap Jumaat atau Sabtu malam.

"Oleh itu, saya meminta MOTAC dan MOF melihat perkara ini dan mencari jalan untuk membantu persatuan kebudayaan meneruskan aktiviti mereka supaya tidak dilupakan generasi muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Komuniti Keluarga Malaysia 'Hogoh Bera 2021' di FELDA Kumai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, seramai 22 penggiat seni menerima Bantuan Prihatin Penggiat Seni, Insentif Seni (sembilan), Anugerah Penggiat Seni (lima) dan Anugerah Khas Seni (seorang).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, permainan tradisional dan sukan rakyat perlu dipromosikan secara lebih konsisten supaya ia terus relevan serta berpotensi besar menjadi tarikan pelancong di lokasi tertentu, selain memastikan ia dikekalkan sebagai warisan budaya.

Sementara itu, Nancy dalam ucapannya pula memaklumkan, MOTAC dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang sedang melakukan siri kajian membabitkan kesenian negeri ini.

"Selain memberi latihan dan mengadakan sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri serta badan korporat membabitkan aktiviti seni dan budaya, kita juga sedang melakukan kajian berkaitan, antaranya perantisan Seni Silat Kura-Kura, Tarian Gamelan, Tarian Labi-Labi dan Seni Silat Lenggang Mak Janda.

"MOTAC sentiasa komited serta menyokong penuh segala aktiviti sektor pelancongan dan kebudayaan, tidak kira ia dilaksanakan jabatan atau agensi bawah kementerian mahupun organisasi luar," katanya.

Berita Harian X