Ahad, 21 November 2021 | 5:25pm
Awang (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI-Prihatin MADA, di Pendang, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Awang (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI-Prihatin MADA, di Pendang, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

337,765 bekerja sendiri pencarum aktif PERKESO

PENDANG: Seramai 337,765 orang bekerja sendiri (OBS) menjadi pencarum aktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan kutipan berjumlah RM77 juta, hingga Rabu lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata caruman itu dikutip PERKESO selepas kerajaan memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada 1 Jun 2017.

"Mereka yang mencarum itu termasuk petani, artis, penjaja, pekerja perkhidmatan dan pelancongan, yang dikategorikan sebagai OBS. Malah, seramai 1,752 OBS telah menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta, setakat ini.

"Selain itu, PERKESO melaksanakan program Geran Padanan SKSPS bermula tahun lalu, bagi menggalakkan lebih ramai pekerja sendiri yang dianggarkan lebih 810,000 orang di seluruh negara, turut mendapatkan perlindungan sosial dan manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang memaklumkan melalui program Geran Padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar 30 peratus daripada jumlah RM232.80 setahun, manakala baki 70 peratus dibiayai kerajaan.

Bagi meneruskan perlindungan program geran padanan itu yang dijadualkan tamat pada 31 Disember depan, beliau berkata, kerajaan bercadang meningkatkan geran padanan kepada 80 peratus mulai tahun depan yang bermakna pencarum akan perlu membayar 20 peratus saja.

"Justeru, kita sangat menggalakkan petani atau pesawah untuk menyertai SKSPS. Ambillah kesempatan ini kerana sekiranya berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan ke ladang atau sedang bekerja, PERKESO akan membayar faedah kepada mereka.

"Jika ditakdirkan pekerja terbabit meninggal dunia, duit perlindungan pengurusan jenazah RM2,000 akan diberi serta-merta. Pencen penakat juga akan diberikan kepada isteri sepanjang hayat dan anak hingga berumur 18 tahun atau tamat pengajian di universiti," katanya.

Setakat ini, beliau berkata, seramai 1,450 petani di Kedah sudah mencarum melalui program SKSPS.

Namun, katanya, dianggarkan kira-kira 50,000 petani di kawasan MADA belum menyertai SKSPS, justeru usaha sedang dibuat untuk menggalakkan mereka menjadi pencarum.

Berita Harian X