Ahad, 21 November 2021 | 4:54pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Penangkapan ikan tuna digalakkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyarankan pelabur dan peserta industri untuk membuka kilang dan mengusahakan kapal tuna serta menjadikan Labuan sebagai Hab Tuna untuk pasaran ke Semenanjung dan luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata industri perikanan tuna mempunyai potensi besar sebagai sumber kekayaan baharu negara untuk dikembangkan di Sabah dan Labuan yang juga selaras dengan transformasi serta pembangunan sektor perikanan yang menyeluruh di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

Katanya, kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta amat penting bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang di negara ini serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

"Manfaat itu tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan tuna saja, tetapi pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain.

"Ini termasuk produk tambah nilai seperti steak tuna, tuna tin, sate, serunding, keropok kulit tuna dan sebagainya.

"Justeru peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah bagi hasilan perikanan tuna akan terus diberi penekanan," katanya pada sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan sektor perikanan laut dalam terutamanya di Sabah dan Labuan, hari ini.

Sesi libat urus itu diadakan bagi mendapatkan input penting daripada semua pihak yang berkepentingan berkaitan tuna sebagai langkah penyediaan perancangan ke arah kemajuan industri tuna tempatan.

Beliau berkata, negara juga perlu mengambil peluang sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menghantar lebih banyak kapal perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak kapal tuna mendarat di Malaysia.

"Kerajaan juga berhasrat untuk menyertai satu lagi organisasi pengurusan perikanan antarabangsa yang menguruskan sumber tuna di sebelah Lautan Pasifik iaitu Western and Central Pacific Fisheries Commission (WCPFC) selain daripada IOTC yang Malaysia sertai sebelum ini sejak 1998.

"Menerusi penyertaan dalam WCPFC, Malaysia boleh merancakkan industri tuna, meningkatkan lagi hasil pendaratan tuna dan seterusnya membangunkan industri laut dalam dan tuna dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan dan jaminan sekuriti makanan negara serta menggalakkan pembabitan pengusaha industri laut dalam dan tuna di sepanjang rantaian industri tuna," katanya.

Sehingga Oktober 2021, sebanyak 20 buah kapal tuna iaitu 19 buah untuk penangkapan ikan tuna dan sebuah pengangkut tuna dilesenkan, beroperasi di Lautan Hindi manakala satu lagi kapal penangkapan ikan tuna dijangka dilesenkan pada hujung tahun ini.

Kerajaan menggalakkan sehingga 70 buah kapal penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030 bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30 ribu tan metrik tercapai.

Berita Harian X