Ahad, 21 November 2021 | 4:41pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PKR terima 'hukuman', PAS kena nilai kerjasama

KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR mendapat 'pengajaran' berguna pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam apabila membelakangkan prinsip asas perjuangan mereka untuk menolak 'katak politik'.

Penganalisis politik, Profesor Dr Jeniri Amir, berkata, keputusan PKR yang mencalonkan bekas wakil rakyat UMNO yang berpaling tadah secara jelas telah memakan diri.

"Ini adalah 'hukuman' kepada PH khususnya PKR sehingga parti itu kecundang di 11 kerusi yang ditandingi akibat tindakan melanggar prinsip asas yang diperjuangkan mereka untuk tidak menerima 'katak politik'.

"Itu jelas terbukti lagi dengan kekalahan tiga 'katak politik' dan mereka harus dihukum," katanya kepada BH, hari ini.

PKR kalah besar pada PRN Melaka apabila tumpas di semua 11 kerusi ditandingi dan ia didakwa tamparan hebat kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai individu utama di sebalik keputusan PH menerima dua wakil rakyat UMNO yang berpaling tadah.

Dua bekas wakil rakyat UMNO itu ialah Datuk Seri Idris Haron yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (Asahan) dibawah kuota PKR dan Datuk Noor Azman Hassan (Pantai Kundor) menggunakan kuota Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PKR menawan tiga kerusi DUN.

Sementara itu, Jeniri, berkata keputusan PRN Melaka juga menuntut PAS menilai semula blok politik mana yang perlu mereka jalinkan kerjasama pada PRU-15.

PAS bertanding di lapan kerusi menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak memenangi sebarang kerusi.

Katanya, keputusan di Melaka membuktikan kerjasama PAS dengan Perikatan Nasional (PN) tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepadanya.

"Sebaliknya jika bekerjasama dengan BN, PAS akan dapat mengukuhkan kedudukannya, lebih-lebih lagi dua parti ini ada ahli yang cukup ramai. UMNO kira-kira 3 juta manakala PAS kira kira 1 juta.

"Kalau digemblengkan kekuatan dua parti ini dengan jentera akar umbi yang kuat, mereka saling dapat membantu dan menguntungkan kedua-dua belah pihak," katanya.

Jeniri sehubungan itu, berkata jika Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang arif dan mampu membaca gerak bawah dan sentimen yang dihantar pengundi di Melaka, beliau harus membuat keputusan bijak demi kepentingan parti itu dan politik orang Melayu.

Ditanya, adakah kemenangan BN yang turut disumbangkan oleh penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memungkinkan Ahli Parlimen Bera itu mengambil alih jawatan Presiden UMNO, Jeniri berkata desakan sedemikian bukanlah perkara baharu.

"Tetapi kedua belah pihak ini akan mendakwa kepemimpinan mereka masih diterima rakyat.

"Bossku (Datuk Seri Najib Razak) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) juga turun padang dengan diterajui oleh Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan)," katanya.

Berita Harian X