Ahad, 21 November 2021 | 4:33pm
Penganalisis politik dari UIAM, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (kiri) dan penganalisis politik dari UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain. - Foto BH
Penganalisis politik dari UIAM, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (kiri) dan penganalisis politik dari UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain. - Foto BH

PAS perlu perkukuh kedudukan dalam MN - Penganalisis

KUALA LUMPUR: PAS perlu memperkukuh kedudukan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) tidak mencatat prestasi diharapkan.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kejayaan MN dapat dilihat pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini yang memberi kemenangan kepada gabungan itu.

"PN masih baharu dan kekuatannya belum teruji sebagai satu kerjasama yang boleh memberi impak besar kepada politik tanah air.

"Bagaimanapun, saya berpendapat PAS tidak ada alasan kuat untuk meninggalkan PN. Namun jika parti itu mahu kemenangan politik yang besar, mereka dilihat perlu bergerak sendiri seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau bekerjasama dengan UMNO," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau ditanya sama ada PAS perlu mengkaji semula kedudukan mereka dalam PN, susulan keputusan PRN Melaka kali ini yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi yang ditandingi.

PN pula hanya memenangi dua kerusi dengan PAS tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya, manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi.

Mengenai kemenangan calon MCA dan MIC, yang antara lain dikatakan berpunca daripada segelintir pengundi tidak cenderung kepada PAS kerana menyifatkannya sebagai parti ekstrem, Mohd Izani berpandangan, mereka membuat keputusan untuk memilih parti berasaskan kaum yang sederhana.

"Bagi saya, PAS sudah lari daripada imej ekstrem, cuma pengundi mahu parti berasaskan kaum yang sederhana," katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata PRN Melaka kali ini dilihat bukan pengakhiran bagi kerjasama antara PAS dengan UMNO.

"Jika kita melihat kenyataan PAS selepas memutuskan untuk bekerjasama dalam PN, parti itu menganggap mereka masih sebahagian daripada MN.

"Ada banyak masa lagi untuk PAS membuat keputusan sebelum PRU-15.

"Keputusan untuk melawan UMNO adalah keputusan jangka pendek tetapi untuk jangka panjang pula ialah memastikan pada PRU-15, mereka bersama dalam MN dengan harapan BERSATU turut bersama dan UMNO tidak menolak BERSATU," katanya.

Ditanya mengenai keupayaan UMNO untuk bergerak sendiri pada PRU-15, selepas terbukti mampu mencapai kemenangan besar tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS, Nik Ahmad Kamal berkata, banyak aspek yang membezakan PRU dengan PRN, termasuk jumlah pengundi dan kawasan ditandingi kelak.

"Jika UMNO merasakan mereka tidak perlu bekerjasama, ia mungkin keputusan yang terburu-buru. Sekiranya mahu menjadikan PRN Melaka indikator bahawa mereka boleh bergerak sendiri, ia mungkin perkiraan yang tidak betul.

"PAS tidak mempunyai sejarah kuat di negeri Pantai Barat termasuk Melaka, dan ujian sudah banyak kali dilakukan tetapi memang tiada perubahan mendadak.

"Bagaimanapun, saya tidak melihat UMNO akan mengenepikan PAS pada PRU-15. Ini kerana PAS mempunyai peranan penting di negeri Pantai Timur dan UMNO dijangka tidak meninggalkan MN," katanya.

Berita Harian X