KUALA LUMPUR: Kecenderungan pengundi untuk memilih parti yang berupaya menawarkan kestabilan politik dijangka berterusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, berkata perkara itu dimulakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam, sekali gus menunjukkan rakyat sudah bosan melihat apa yang berlaku selepas PRU-14.
"Saya rasa (kestabilan) akan diberi keutamaan memandangkan mereka sudah muak, kecewa dan marah kerana ahli politik kerap 'melompat' dan kita harap pada PRU nanti sudah ada akta lompat parti dikeperkenalkan demi kestabilan politik.
"Mungkin selepas ini pengundi akan cuba memberikan sesuatu parti itu angka kemenangan besar supaya kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan diutamakan dan itu juga penting untuk negara demi masa depan," katanya kepada BH, hari ini.
Menerusi PRN Melaka semalam, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri tanpa perlu bekerjasama dengan blok lain selepas menawan 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi.
Lebih manis, parti komponennya iaitu MCA dan MIC masing-masing menang di dua dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas lanjut, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan akan ada suara desakan dari dalam BN supaya PRU-15 dipercepatkan berikutan pencapaian cermelang yang dilakar parti itu di Melaka.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak harus berhati-hati dalam keghairahan keyakinan mereka kerana keputusan di Melaka tidak semestinya akan berulang di negeri lain atau di peringkat Persekutuan.
"Bagaimanapun, BN boleh menggunakan pendekatan di Melaka dari segi pemilihan calon, gerak kerja yang sepadu dan bagaimana meminimumkan percakaran dalaman.
"BN juga didapati tidak membawa isu yang bersifat provokatif dan pembunuhan karakter dikurangkan," katanya.
Mengenai prestasi buruk Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR yang gagal menawan sebarang kerusi DUN Melaka, Sivamurugan, berkata, ia mungkin berpunca daripada tindakan mereka menerima dua calon yang berpaling tadah iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Noor Azman Hassan, sehingga menumbangkan kerajaan negeri.
Katanya, memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang juga menyebabkan ada penyokong tegar mereka membantah kerana beranggapan ia menyebabkan parti mereka terikat.
"Apabila calon DUN Asahan (Idris) dan Pantai Kundor (Noor Azman) diterima, itu semua telah jejaskan kredibiliti PH. Mungkin itu juga mempengaruhi pola pengundian dalam kalangan masayarakat Cina dan India sehingga MCA dan MIC boleh menang," katanya.