Ahad, 21 November 2021 | 3:31pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - NSTP/Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - NSTP/Asyraf Hamzah

Ismail Sabri dorong kemenangan BN

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang diterima baik oleh rakyat adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Penganalisis politik, Profesor Dr Jeniri Amir, berkata ia turut didorong oleh rasa puas hati dan keyakinan rakyat terhadap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Bajet 2022 dan gagasan Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Ismail Sabri.

Beliau berkata, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) juga, rakyat membuat penilaian terhadap corak kepemimpinan tiga kerajaan berdasarkan pengalaman peribadi dan akhirnya mereka membuat pendirian bahawa BN masih parti yang terbaik.

"Perdana Menteri mengemukakan banyak inisiatif dalam usaha meringankan beban rakyat ketika mereka berdepan masalah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka mendapati inilah pemimpin dan parti politik yang boleh digantung harapan untuk melakar masa depan dengan lebih meyakinkan," katanya kepada BH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka yang menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN.

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata PH berjaya memenangi lima kerusi, manakala PN pula menang dua.

Mengulas lanjut, Jeniri, berkata, keyakinan rakyat itu sangat penting kerana mereka percaya BN dapat memberikan kestabilan pada keadaan politik Melaka.

"Mereka tidak mahu melihat lagi ketidakstabilan politik berlaku sehingga menjejaskan tumpuan pada usaha menangani COVID-19 dan peluang ekonomi, khususnya dari segi peluang pekerjaan dan pelaburan ke Melaka.

"Ini dimanifestasikan melalui sokongan padu sehingga memungkinkan BN menang 21 kerusi yang bersamaan dengan pencapaian PRU-13.

"Maksudnya, BN kembali pada kedudukan asal di sebalik keraguan banyak pihak dalam landskap politik baharu, tidak mungkin untuk mana mana blok parti politik meraih kemenangan dua per tiga," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, turut berpendapat dasar dan pendekatan Ismail Sabri menjadi antara faktor penyumbang kemenangan BN di Melaka.

Katanya, perubahan kepemimpinan di peringkat kerajaan Pusat apabila diterajui Perdana Menteri dari UMNO dan BN turut memberi nilai tambah kepada parti itu dan jentera pilihan rayanya.

"Ini termasuklah beberapa perkara yang dibawa oleh beliau yang meredakan suasana politik melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang.

"Ia sekali gus membolehkan Ismail Sabri dan kerajaan memberi tumpuan pada RMK-12, Bajet 2022 dan konsep Keluarga Malaysia," katanya.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berpendapat keputusan PRN Melaka menunjukkan pengundi mahukan sebuah parti yang mempunyai tradisi kestabilan.

Beliau berkata, tema kempen yang diketengahkan BN iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran menjadi pelengkap kerana ia menepati kehendak pengundi.

"Kemenangan selesa BN ini menunjukkan pengundi memilih parti dan tidak melihat pada soal dakwaan berkaitan integriti calon itu sendiri.

"Mereka memilih parti yang mempunyai rekod prestasi yang stabil sejak 61 tahun lalu. Ini juga bertepatan dengan tema kempen BN di Melaka iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran," katanya.

Berita Harian X