Ahad, 21 November 2021 | 1:27pm
Empat calon DUN Sungai Udang (dari kiri) Dr Mohd Aleef Yusof (Perikatan Nasional), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Barisan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas). - Foto BERNAMA
Empat calon DUN Sungai Udang (dari kiri) Dr Mohd Aleef Yusof (Perikatan Nasional), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Barisan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas). - Foto BERNAMA

Saya wakil rakyat semua - Dr Mohd Aleef

MELAKA: "Saya wakil rakyat bagi semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, termasuk mereka yang menyokong parti lain," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan hospital swasta di Melaka berkata, beliau bukan sahaja akan memberi fokus pada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga sebahagian besar pengundi DUN itu, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan parti.

"Saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur dikurniakan amanah sebagai wakil rakyat Sungai Udang dan akan bekerja kuat, demi amanah ini.

"Saya komited untuk pastikan semua pengundi mendapat hak kebajikan dan keperluan yang diperuntuk bagi mereka," katanya di sini hari ini.

Mohd Aleef dipilih sebagai wakil rakyat selepas mendapat undi sebanyak 6,789 undi menewaskan tiga lagi calon termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Dalam persaingan empat penjuru itu, beliau memperoleh majoriti 530 undi mengatasi calon BN, Pakatan Harapan (Hasmorni Tamby) dan Bebas (Mohd Zahar Hashim).

Beliau berkata, kejayaan yang diraih itu ialah kemenangan jentera Perikatan Nasional (PN) Sungai Udang yang bekerja keras dan konsisten beberapa tahun lalu, untuk memastikan kemenangan parti di DUN berkenaan.

"Ini kali pertama saya menyertai pilihan raya negeri di bawah tiket PN dan dipilih sebagai ADUN Sungai Udang. Ini menjadi titik tolak saya untuk bekerja kuat bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk PN," katanya yang juga calon muda yang bertanding di DUN Sungai Udang dalam PRN itu.

Pada PRN Melaka semalam, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka dengan mencatat kemenangan dua pertiga, diikuti PH (lima kerusi), PN (dua kerusi).

Sebanyak 326,068 atau 65.85 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka. – BERNAMA

Berita Harian X