Ahad, 21 November 2021 | 1:12pm
Air Selangor menasihati pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan. - Foto hiasan
Air Selangor menasihati pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan. - Foto hiasan

Gangguan bekalan air di Petaling dijangka pulih hari ini

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di wilayah Petaling dijangka pulih sepenuhnya pada jam 3 petang ini selepas bekalan air mula dibekalkan pada jam 2 pagi tadi secara berperingkat kepada pengguna di kawasan itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, bekalan air disalurkan pada jam 2 pagi ini selepas ujian kualiti air yang dijalankan di Kolam Air Sime UEP, USJ memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).

"Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, pengguna di kawasan berkenaan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah berikutan penurunan paras Kolam Air Sime UEP, USJ disebabkan oleh masalah teknikal pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong.

"Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan. Diharap pengguna akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan," katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 dan sebarang pertanyaan serta aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman web www.airselangor.com. – BERNAMA

Berita Harian X