Ahad, 21 November 2021 | 12:24pm

Banjir 'termenung' tenggelamkan 156 hektar sawah

RANTAU PANJANG: Hampir 40 pesawah resah memikirkan banjir 'termenung' yang menenggelami 156 hektar sawah milik mereka di Kampung Tersang dan Kampung Luar, Gual Periok, di sini.

Mereka mendakwa banjir termenung sejak dua minggu lalu itu julung kali berlaku walaupun kawasan berkenaan menjadi lokasi bah hampir setiap tahun, dipercayai disebabkan pembinaan projek tebatan banjir di lokasi berdekatan.

Ketua Unit (Pesawah) Kampung Luar, Azli Jaafar, berkata keadaan itu membimbangkan pesawah yang sepatutnya mula menanam padi pada awal Januari, namun terpaksa ditunda sehingga Mac atau April tahun hadapan.

Ketua Unit (Pesawah) Kampung Luar, Azli Jaafar (depan) bersama pesawah meninjau keadaan banjir ‘termenung’ di Kampung Luar, Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Unit (Pesawah) Kampung Luar, Azli Jaafar (depan) bersama pesawah meninjau keadaan banjir ‘termenung’ di Kampung Luar, Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Alhamdulillah, majoriti pesawah sempat menuai sebelum banjir, tetapi masalah baharu timbul akibat banjir termenung yang boleh mengganggu proses menanam, sekali gus menyebabkan kerugian kepada pesawah selain melambatkan pengeluaran hasil padi pada masa akan datang.

"Kami perlu sentiasa bersedia hadapi banjir kerana maklum lokasi sawah di kawasan rendah, tetapi kemunculan bah yang tidak surut menganggu kami. Pihak berwajib yang menjalankan pembangunan seharusnya peka dengan keadaan semasa kerana kami sebagai pesawah teraniaya dan menerima kesan buruk," katanya.

Azli berkata, pesawah tidak menolak sebarang pembangunan, malah menerima baik, tetapi ia perlu dirancang sebaiknya supaya tidak memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Turut terjejas, pemilik ladang kelapa, Che Nazir Che Soh, 62, yang mengakui akan kerugian RM30,000 jika masalah banjir termenung tidak diselesaikan segera kerana ladangnya turut ditenggelami air yang boleh menyebabkan pokok kelapa muda rosak.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang, Johari Rashid, berkata selepas bertemu dan berbincang dengan pesawah, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah terbabit.

"Beberapa perbincangan dirancang dengan agensi berkaitan bagi membantu pesawah di dua penempatan ini kerana kami difahamkan sawah berkenaan satu-satunya punca pendapatan mereka," katanya.

Tinjauan dari udara keadaan banjir ‘termenung’ yang menenggelami 156 hektar sawah di Kampung Tersang dan Kampung Luar, Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan dari udara keadaan banjir ‘termenung’ yang menenggelami 156 hektar sawah di Kampung Tersang dan Kampung Luar, Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X