Ahad, 21 November 2021 | 11:51am
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub. - NSTP/ARKIB
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub. - NSTP/ARKIB

'AMANAH terima baik keputusan pengundi Melaka' - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan sikap dan trend rakyat yang mahukan kestabilan politik, menjadi antara faktor pengundi Melaka memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Beliau berkata, rakyat ketika ini semakin sedar akan masalah politik negara dan ingin menamatkannya segera dengan cara memilih BN.

"Saya rasa mereka (rakyat) ingin tamatkan apa yang dikatakan riuh rendah dalam politik sekarang dan mahukan satu bentuk kestabilan. Jadi kita tengok apa yang BN boleh lakukan dalam tempoh lima tahun ini (di Melaka) kerana secara objektifnya kita harus bagi peluang kepada mereka," katanya kepada BH.

Semalam, BN berjaya membentuk kerajaan negeri tanpa perlu bekerjasama dengan blok parti lain selepas memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, DAP dan AMANAH pula hanya menang lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan calon mewakili BERSATU, PAS dan GERAKAN mendapat dua kerusi.

Salahuddin berkata, faktor lain yang turut mempengaruhi keputusan itu, termasuk pandemik COVID-19 yang dipercayai menyebabkan ramai tidak keluar mengundi dengan peratusan menunaikan tanggungjawab itu hanya 65.85 peratus.

"Jadi faktor ini yang akan diperincikan dalam 'post mortem' kita dan saya rasa kita harus melihat banyak lagi perkara untuk kita hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya menambah, AMANAH menerima baik keputusan PRN itu dengan terbuka.

"Secara prinsipnya kita terima keputusan rakyat dan menghormati orang Melaka yang sudah memberikan mandat mereka kepada kerajaan baru," katanya.

Ditanya strategi pada PH pada PRU nanti berdasarkan keputusan PRN Melaka, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengulas perkara itu kerana ia memerlukan kajian terperinci.

KEPUTUSAN RASMI

 KERUSIPARTIYANG MENANG
 N1 Kuala LinggiBN-UMNOROSLI ABDULLAH
 N2 Tanjung BidaraBN-UMNODATUK SERI AB RAUF
 N3 Ayer LimauBN-UMNODATUK HAMEED BASHEER
 N4 LenduBN-UMNODATUK SERI SULAIMAN MD ALI
 N5 Taboh NaningBN-UMNOZULKIFLEE MOHD ZIN
 N6 RembiaBN-UMNODATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
 N7 GadekBN-MICP SHANMUGAM
 N8 Machap JayaBN-MCANGWE HEE SEM
 N9 Durian TunggalBN-UMNOZAHARI ABD KALIL
 N10 AsahanBN-UMNOFAIRUL NIZAM ROSLAN
 N11 Sungai UdangPN-BERSATUDR MOHD ALEEF YUSOF
 N12 Pantai KundorBN-UMNOTUMINAH KADI @ MOHD HASHIM
 N13 Paya RumputBN-UMNODATUK RAIS YASIN
 N14 KelebangBN-MCADATUK LIM BAN HONG
 N15 Pengkalan BatuBN-UMNODATUK KALSOM NOORDIN
 N16 Ayer KerohPH-DAPKERK CHEE YEE
 N17 Bukit KatilPH-AMANAHADLY ZAHARI
 N18 Ayer MolekBN-UMNODATUK RAHMAD MARIMAN
 N19 KesidangPH-DAPSEAH SHOO CHIN
 N20 Kota LaksamanaPH-DAPLOW CHEE LEONG
 N21 DuyongBN-UMNOMOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM
 N22 Bandar HilirPH-DAPLENG CHAU YEN
 N23 Telok MasBN-UMNODATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN
 N24 BembanPN-BERSATUDR MOHD YADZIL YAAKUB
 N25 RimBN-UMNODATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR
 N26 SerkamBN-UMNODATUK ZAIDI ATTAN
 N27 MerlimauBN-UMNODR MUHAMAD AKMAL SALEH
 N28 Sungai RambaiBN-UMNOSITI FAIZAH ABDUL AZIS

KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:

  • Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
  • Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
  • Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi

Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my

Berita Harian X