KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang cemerlang memberi petunjuk bahawa pengundi mahukan sebuah parti yang mempunyai tradisi kestabilan.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berkata kehendak pengundi terhadap kestabilan itu menyebabkan mereka tidak mempedulikan soal peribadi calon BN walaupun ada yang didakwa terpalit dengan isu integriti.
Katanya, tema kempen yang diketengahkan BN iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran pula menjadi pelengkap kerana ia menepati kehendak pengundi.
"Kemenangan selesa BN ini menunjukkan pengundi telah memilih parti dan dia tidak melihat kepada soal dakwaan berkaitan integriti calon itu sendiri.
"Mereka memilih parti yang mempunyai rekod pretasi yang stabil sejak 61 tahun lalu. Ini juga bertepatan dengan tema kempen BN di Melaka iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran," katanya kepada BH, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka yang menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN.
Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata PH berjaya memenangi lima kerusi, manakala PN pula menang dua.
Sementara itu, Jamaie, berkata isyarat kebangkitan BN dalam arena politik negara sebenarnya boleh dilihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada November 2019 apabila parti itu menang dengan majoriti besar 15,086 undi.
Katanya, kecenderungan yang sama berulang di Melaka apabila undi orang Melayu, Cina dan India kembali kepada BN.
"Keputusan di Tanjung Piai barangkali banyak mendorong BN mengambil tindakan berani bertanding secara bersendirian di Melaka tanpa mempedulikan rayuan PAS dan BERSATU.
"Sokongan pengundi kepada BN juga dijangka berterusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal menyaksikan BN meraih kemenangan besar," katanya.
KEPUTUSAN RASMI
KERUSI | PARTI | YANG MENANG |
N1 Kuala Linggi | BN-UMNO | ROSLI ABDULLAH |
N2 Tanjung Bidara | BN-UMNO | DATUK SERI AB RAUF |
N3 Ayer Limau | BN-UMNO | DATUK HAMEED BASHEER |
N4 Lendu | BN-UMNO | DATUK SERI SULAIMAN MD ALI |
N5 Taboh Naning | BN-UMNO | ZULKIFLEE MOHD ZIN |
N6 Rembia | BN-UMNO | DATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS |
N7 Gadek | BN-MIC | P SHANMUGAM |
N8 Machap Jaya | BN-MCA | NGWE HEE SEM |
N9 Durian Tunggal | BN-UMNO | ZAHARI ABD KALIL |
N10 Asahan | BN-UMNO | FAIRUL NIZAM ROSLAN |
N11 Sungai Udang | PN-BERSATU | DR MOHD ALEEF YUSOF |
N12 Pantai Kundor | BN-UMNO | TUMINAH KADI @ MOHD HASHIM |
N13 Paya Rumput | BN-UMNO | DATUK RAIS YASIN |
N14 Kelebang | BN-MCA | DATUK LIM BAN HONG |
N15 Pengkalan Batu | BN-UMNO | DATUK KALSOM NOORDIN |
N16 Ayer Keroh | PH-DAP | KERK CHEE YEE |
N17 Bukit Katil | PH-AMANAH | ADLY ZAHARI |
N18 Ayer Molek | BN-UMNO | DATUK RAHMAD MARIMAN |
N19 Kesidang | PH-DAP | SEAH SHOO CHIN |
N20 Kota Laksamana | PH-DAP | LOW CHEE LEONG |
N21 Duyong | BN-UMNO | MOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM |
N22 Bandar Hilir | PH-DAP | LENG CHAU YEN |
N23 Telok Mas | BN-UMNO | DATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN |
N24 Bemban | PN-BERSATU | DR MOHD YADZIL YAAKUB |
N25 Rim | BN-UMNO | DATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR |
N26 Serkam | BN-UMNO | DATUK ZAIDI ATTAN |
N27 Merlimau | BN-UMNO | DR MUHAMAD AKMAL SALEH |
N28 Sungai Rambai | BN-UMNO | SITI FAIZAH ABDUL AZIS |
KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:
- Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
- Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
- Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi
Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my