MELAKA: Empat faktor dikenal pasti menjadi antara penyumbang utama di sebalik 'angin' perubahan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ia meliputi pemilihan modal kempen, peratusan keluar mengundi, logo parti dan penolakan terhadap pemimpin yang dilabel sebagai 'katak politik'.
Penganalisis politik, Ibrahim Suffian, berkata analisis awal keputusan PRN Melaka menyaksikan pengundi tidak menerima perbuatan 'katak politik' apabila semua calon berkenaan tewas kepada pesaing masing-masing.
Katanya, keputusan PKR untuk menurunkan calon daripada bekas ahli UMNO yang dilabel sedemikian juga dipercayai antara pendorong utama peralihan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
"Kalau kita lihat, BN berjaya memenangi semua sokongan pengundi Melayu yang pergi ke Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dan ini berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pemilihan logo meskipun ia berkemungkinan hanya menyumbang sekitar satu hingga dua peratus undi.
"Peratusan keluar mengundi yang rendah dan penggunaan bahan kempen, dengan lebih berat kepada isu nasional seperti peruntukan RM100 juta untuk kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga terbukti gagal mempengaruhi sokongan pengundi di Melaka.
"Ini menunjukkan apa yang dibawa dalam modal berkempen tidak dekat dengan hati pengundi, berbanding isu-isu tempatan, malah berkemungkinan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen juga memainkan peranan.
"Kalau dulu, pembangkang lebih selesa berkempen menerusi acara besar seperti ceramah dan 'walkabout' (turun padang) tetapi di Melaka, semuanya berlaku di alam siber," katanya kepada BH, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka yang menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN.
Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang dua.
Ibrahim yang juga Pengarah Eksekutif Merdeka Center berkata kemenangan mengejut dilakar MCA dan MIC juga memberi isyarat jelas bahawa pengundi Melayu kini memberikan sokongan semula kepada gabungan berkenaan.
Mengulas mengenai kegagalan PAS menawan sebarang kerusi di Melaka, beliau berkata, ia tidak harus dipandang sedemikian kerana usaha untuk memperoleh sokongan pengundi dalam perjuangan politik lazimnya berupaya dicapai secara berperingkat.
"PAS masih ada kekuatan dan kalau kita tengok perangkaan rasmi, andainya mereka dapat peroleh 10 hingga 11 peratus undi pun sudah mencukupi sebagai langkah permulaan kerana meraih sokongan tidak berlaku dalam sekelip mata.
"Mungkin dalam satu atau dua penggal lagi, PAS bakal melakar kejayaan," katanya.
KEPUTUSAN RASMI
KERUSI | PARTI | YANG MENANG |
N1 Kuala Linggi | BN-UMNO | ROSLI ABDULLAH |
N2 Tanjung Bidara | BN-UMNO | DATUK SERI AB RAUF |
N3 Ayer Limau | BN-UMNO | DATUK HAMEED BASHEER |
N4 Lendu | BN-UMNO | DATUK SERI SULAIMAN MD ALI |
N5 Taboh Naning | BN-UMNO | ZULKIFLEE MOHD ZIN |
N6 Rembia | BN-UMNO | DATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS |
N7 Gadek | BN-MIC | P SHANMUGAM |
N8 Machap Jaya | BN-MCA | NGWE HEE SEM |
N9 Durian Tunggal | BN-UMNO | ZAHARI ABD KALIL |
N10 Asahan | BN-UMNO | FAIRUL NIZAM ROSLAN |
N11 Sungai Udang | PN-BERSATU | DR MOHD ALEEF YUSOF |
N12 Pantai Kundor | BN-UMNO | TUMINAH KADI @ MOHD HASHIM |
N13 Paya Rumput | BN-UMNO | DATUK RAIS YASIN |
N14 Kelebang | BN-MCA | DATUK LIM BAN HONG |
N15 Pengkalan Batu | BN-UMNO | DATUK KALSOM NOORDIN |
N16 Ayer Keroh | PH-DAP | KERK CHEE YEE |
N17 Bukit Katil | PH-AMANAH | ADLY ZAHARI |
N18 Ayer Molek | BN-UMNO | DATUK RAHMAD MARIMAN |
N19 Kesidang | PH-DAP | SEAH SHOO CHIN |
N20 Kota Laksamana | PH-DAP | LOW CHEE LEONG |
N21 Duyong | BN-UMNO | MOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM |
N22 Bandar Hilir | PH-DAP | LENG CHAU YEN |
N23 Telok Mas | BN-UMNO | DATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN |
N24 Bemban | PN-BERSATU | DR MOHD YADZIL YAAKUB |
N25 Rim | BN-UMNO | DATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR |
N26 Serkam | BN-UMNO | DATUK ZAIDI ATTAN |
N27 Merlimau | BN-UMNO | DR MUHAMAD AKMAL SALEH |
N28 Sungai Rambai | BN-UMNO | SITI FAIZAH ABDUL AZIS |
KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:
- Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
- Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
- Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi
Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my