KUALA LUMPUR: Tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk melantik wanita sebagai Ketua Menteri, ternyata belum mampu memikat pengundi Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau memberi mandat kepada gabungan parti itu untuk memerintah.
Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, 45, yang menjadi taruhan PN kecundang dalam saingan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara semalam.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu kekurangan 364 undi berbanding Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang julung kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 3,559 undi.
Ab Rauf yang juga Pengerusi UMNO Melaka berjaya mengatasi Mas Ermieyati merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang memperoleh 3,195 undi.
Ini kali pertama seorang wanita dan 'muka baharu" yang dipertaruhkan sebagai calon Ketua Menteri dalam pilihan raya negeri kali ini.
Selain Mas Ermieyati, dua lagi taruhan calon Ketua Menteri, iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN) dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Adly Zahari yang mewakili PH, menang mudah di kerusi masing-masing.
Sulaiman memenangi kerusi DUN Lendu dengan majoriti undi 4,486, manakala Adly mengekalkan kerusi DUN Bukit Katil dengan majoriti 1,057 undi.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali melihat kemenangan Sulaiman mampu meneruskan kembali kestabilan politik di negeri ini.
"Pengalaman dan kematangan Sulaiman mentadbir Melaka sebelum ini membuktikan beliau layak dipilih sekali lagi untuk mengemudi negeri bersejarah.
"Bagaimanapun beliau mungkin kena belajar daripada kesilapan dan pengalaman yang lepas supaya politik di Melaka semakin matang serta tidak hilang fokus dengan kuasa sebaliknya mementingkan kepentingan rakyat," katanya.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berkata kemenangan Adly adalah disebabkan pesona dan latar belakang bekas Ketua Menteri itu yang disenangi penduduk setempat.
Katanya, aura Adly sendiri yang telah dikenali penduduk Melaka dilihat menjadi faktor beliau memenangi kerusi Bukit Katil, selain dibantu rakan dalam PH seperti DAP dalam kempen pilihan raya.
Mengenai kekalahan Mas Ermieyati, Jamaie berkata, perkara itu telah dijangka memandangkan Tanjung Bidara adalah kubu kuat BN.
Jelasnya, walaupun Mas Ermieyati pernah menjadi tokoh kuat di Melaka, kemenangan beliau sebelum ini adalah atas tiket BN sebelum beralih kepada BERSATU, tindakan yang kurang disenangi penduduk setempat. - BERNAMA
KEPUTUSAN RASMI
KERUSI | PARTI | YANG MENANG |
N1 Kuala Linggi | BN-UMNO | ROSLI ABDULLAH |
N2 Tanjung Bidara | BN-UMNO | DATUK SERI AB RAUF |
N3 Ayer Limau | BN-UMNO | DATUK HAMEED BASHEER |
N4 Lendu | BN-UMNO | DATUK SERI SULAIMAN MD ALI |
N5 Taboh Naning | BN-UMNO | ZULKIFLEE MOHD ZIN |
N6 Rembia | BN-UMNO | DATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS |
N7 Gadek | BN-MIC | P SHANMUGAM |
N8 Machap Jaya | BN-MCA | NGWE HEE SEM |
N9 Durian Tunggal | BN-UMNO | ZAHARI ABD KALIL |
N10 Asahan | BN-UMNO | FAIRUL NIZAM ROSLAN |
N11 Sungai Udang | PN-BERSATU | DR MOHD ALEEF YUSOF |
N12 Pantai Kundor | BN-UMNO | TUMINAH KADI @ MOHD HASHIM |
N13 Paya Rumput | BN-UMNO | DATUK RAIS YASIN |
N14 Kelebang | BN-MCA | DATUK LIM BAN HONG |
N15 Pengkalan Batu | BN-UMNO | DATUK KALSOM NOORDIN |
N16 Ayer Keroh | PH-DAP | KERK CHEE YEE |
N17 Bukit Katil | PH-AMANAH | ADLY ZAHARI |
N18 Ayer Molek | BN-UMNO | DATUK RAHMAD MARIMAN |
N19 Kesidang | PH-DAP | SEAH SHOO CHIN |
N20 Kota Laksamana | PH-DAP | LOW CHEE LEONG |
N21 Duyong | BN-UMNO | MOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM |
N22 Bandar Hilir | PH-DAP | LENG CHAU YEN |
N23 Telok Mas | BN-UMNO | DATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN |
N24 Bemban | PN-BERSATU | DR MOHD YADZIL YAAKUB |
N25 Rim | BN-UMNO | DATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR |
N26 Serkam | BN-UMNO | DATUK ZAIDI ATTAN |
N27 Merlimau | BN-UMNO | DR MUHAMAD AKMAL SALEH |
N28 Sungai Rambai | BN-UMNO | SITI FAIZAH ABDUL AZIS |
KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:
- Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
- Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
- Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi
Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my