Ahad, 21 November 2021 | 9:43am
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama

Perdana Menteri ketuai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China bagi meraikan ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China mulai esok menerusi persidangan video.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri serta pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, MITI dan MOTAC.

Katanya, Sidang Kemuncak Khas itu akan memberi tumpuan kepada penilaian dan hala tuju kerjasama ASEAN-China, termasuk meningkatkan hubungan ASEAN dan China kepada kerjasama strategik yang menyeluruh.

"China adalah antara rakan kongsi ASEAN yang paling dinamik dengan kerjasama dan kolaborasi merangkumi pelbagai sektor di bawah kesemua tiga tonggak ASEAN.

"Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Khas ini mencerminkan komitmen negara untuk terus mempertingkatkan hubungan dialog ASEAN-China," katanya.

Justeru Malaysia, berharap Sidang Kemuncak Khas itu akan membuka jalan untuk para pemimpin mencapai kesepakatan berhubung matlamat yang saling memanfaatkan, dalam usaha menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama di rantau ini.

Berita Harian X