Ahad, 21 November 2021 | 9:29am
Calon Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee (tiga dari kanan) antara yang kehilangan wang deposit selepas hanya meraih 1,218 undi. - Foto Bernama
Calon Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee (tiga dari kanan) antara yang kehilangan wang deposit selepas hanya meraih 1,218 undi. - Foto Bernama

Kesemua calon Bebas, Iman hilang wang deposit

KUALA LUMPUR: Percubaan kesemua calon Bebas termasuk "YB Viral" Datuk Norhizam Hassan Baktee dan dua parti politik untuk membuat penampilan sulung dalam pilihan raya dengan memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berakhir dengan kehilangan deposit.

Kesemua 22 calon Bebas, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) adalah antara 34 calon yang hilang deposit dalam PRN Melaka setelah gagal memperolehi satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Norhizam yang juga penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu, hilang deposit dalam percubaannya mempertahankan kerusi tersebut setelah meraih 1,218 undi.

PRN Melaka adalah penampilan sulung buat Putra dan Iman dalam pilihan raya.

Masing-masing dua calon daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut hilang deposit.

Dua calon PN yang hilang deposit ialah Clarice Chan Ming Wang yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Fong Khai Ling di DUN Kota Laksamana.

Calon BN yang kehilangan deposit ialah Lee Kah Sean yang bertanding di DUN Bandar Hilir dan Benjamin Low Ching Hong di DUN Kota Laksamana, manakala calon PH ialah Zainal Hassan di DUN Tanjung Bidara dan Maznah Baharuddin di DUN Ayer Limau.

Sembilan calon yang memasuki gelanggang membabitkan pertandingan enam penjuru masing-masing di tiga kerusi DUN iaitu Gadek, Asahan dan Duyong, juga hilang deposit.

Mereka ialah Azafen Amin (Bebas); Mohan Singh Booda Singh (Bebas); Laila Norinda Maon (Putra); Mohd Noor Salleh (Bebas); Azmar Abdul Hamid (Bebas); Mohd Akhir Ayob (Bebas); Gan Tian Soh (Bebas); Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) dan Mohd Faizal Amzah (Putra).

Dalam PRN Melaka itu, calon PH bagi DUN Kota Laksamana Low Chee Leong memperolehi majoriti terbesar dengan meraih 11,494 undi, manakala calon Bebas di DUN Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali, memperolehi undi terendah iaitu sebanyak 79 undi.

BN memperoleh mandat untuk mentadbir kerajaan Melaka setelah memenangi lebih dua pertiga kerusi DUN. Gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

–BERNAMA

KEPUTUSAN RASMI

 KERUSIPARTIYANG MENANG
 N1 Kuala LinggiBN-UMNOROSLI ABDULLAH
 N2 Tanjung BidaraBN-UMNODATUK SERI AB RAUF
 N3 Ayer LimauBN-UMNODATUK HAMEED BASHEER
 N4 LenduBN-UMNODATUK SERI SULAIMAN MD ALI
 N5 Taboh NaningBN-UMNOZULKIFLEE MOHD ZIN
 N6 RembiaBN-UMNODATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
 N7 GadekBN-MICP SHANMUGAM
 N8 Machap JayaBN-MCANGWE HEE SEM
 N9 Durian TunggalBN-UMNOZAHARI ABD KALIL
 N10 AsahanBN-UMNOFAIRUL NIZAM ROSLAN
 N11 Sungai UdangPN-BERSATUDR MOHD ALEEF YUSOF
 N12 Pantai KundorBN-UMNOTUMINAH KADI @ MOHD HASHIM
 N13 Paya RumputBN-UMNODATUK RAIS YASIN
 N14 KelebangBN-MCADATUK LIM BAN HONG
 N15 Pengkalan BatuBN-UMNODATUK KALSOM NOORDIN
 N16 Ayer KerohPH-DAPKERK CHEE YEE
 N17 Bukit KatilPH-AMANAHADLY ZAHARI
 N18 Ayer MolekBN-UMNODATUK RAHMAD MARIMAN
 N19 KesidangPH-DAPSEAH SHOO CHIN
 N20 Kota LaksamanaPH-DAPLOW CHEE LEONG
 N21 DuyongBN-UMNOMOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM
 N22 Bandar HilirPH-DAPLENG CHAU YEN
 N23 Telok MasBN-UMNODATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN
 N24 BembanPN-BERSATUDR MOHD YADZIL YAAKUB
 N25 RimBN-UMNODATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR
 N26 SerkamBN-UMNODATUK ZAIDI ATTAN
 N27 MerlimauBN-UMNODR MUHAMAD AKMAL SALEH
 N28 Sungai RambaiBN-UMNOSITI FAIZAH ABDUL AZIS

KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:

  • Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
  • Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
  • Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi

Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my

Berita Harian X