Ahad, 21 November 2021 | 12:00am
Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari ketika melancarkan Manifesto PH bagi PRN Melaka 2021 pada 10 November lalu. - BERNAMA
Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari ketika melancarkan Manifesto PH bagi PRN Melaka 2021 pada 10 November lalu. - BERNAMA

PKR terima tamparan hebat tewas semua kerusi ditandingi

MELAKA: PKR menerima tamparan hebat apabila tewas semua kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

PKR bertanding 11 kerusi, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

Sembilan lagi kerusi ditandingi Parti Amanah Negara (AMANAH), manakala DAP diberikan kerusi paling sedikit iaitu lapan, sama dengan jumlah diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) 2018.

Empat tahun lalu, PH membahagikan 28 kerusi dalam kalangan empat parti komponennya ketika itu, iaitu PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU.

Ketika itu, PKR dan DAP bertanding lapan kerusi, manakala AMANAH dan BERSATU di enam kerusi. DAP muncul pemenang terbesar apabila menang semua kerusi ditandinginya, PKR menang tiga, manakala BERSATU dan AMANAH pula masing-masing menang dua kerusi.

BERSATU kemudian keluar daripada PH dan membentuk kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selain sokongan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang kemudian menjadi wakil rakyat Bebas menyokong kerjasama BN dan BERSATU.

Keputusan PRN Melaka menyaksikan DAP kekal pemenang terbesar dalam kalangan parti komponen PH apabila mengekalkan kerusi Bandar Hilir, Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Kesidang, namun tewas empat lagi kerusi disandangnya, iaitu Duyong, Gadek, Pengkalan Batu dan Bemban.

AMANAH juga gagal mengekalkan momentum PRU-14 apabila hanya berjaya menang kerusi Bukit Katil melalui calonnya, Adly Zahari, iaitu Pengerusi AMANAH Melaka dan bekas Ketua Menteri ketika PH mentadbir negeri ini selepas PRU-14.

Paling mengejutkan adalah prestasi PKR, daripada tiga kerusi dimenangnya pada PRU-14, kali ini tewas semua termasuk terlepas DUN Machap Jaya kepada BN yang diwakili MCA.

Nyata, telahan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik yang sebelum ini yakin parti itu mampu menawan sekurang-kurangnya tujuh daripada 11 kerusi, termasuk merampas kerusi disandang Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Lendu, jauh tersasar.

Tujuh kerusi sasaran itu termasuk tiga DUN dimenanginya pada 2018, iaitu Machap Jaya, Rembia dan Kelebang, selain menawan Paya Rumput, Asahan, Rim dan Lendu. PKR turut bertanding di Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

KEPUTUSAN RASMI

 KERUSIPARTIYANG MENANG
 N1 Kuala LinggiBN-UMNOROSLI ABDULLAH
 N2 Tanjung BidaraBN-UMNODATUK SERI AB RAUF
 N3 Ayer LimauBN-UMNODATUK HAMEED BASHEER
 N4 LenduBN-UMNODATUK SERI SULAIMAN MD ALI
 N5 Taboh NaningBN-UMNOZULKIFLEE MOHD ZIN
 N6 RembiaBN-UMNODATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
 N7 GadekBN-MICP SHANMUGAM
 N8 Machap JayaBN-MCANGWE HEE SEM
 N9 Durian TunggalBN-UMNOZAHARI ABD KALIL
 N10 AsahanBN-UMNOFAIRUL NIZAM ROSLAN
 N11 Sungai UdangPN-BERSATUDR MOHD ALEEF YUSOF
 N12 Pantai KundorBN-UMNOTUMINAH KADI @ MOHD HASHIM
 N13 Paya RumputBN-UMNODATUK RAIS YASIN
 N14 KelebangBN-MCADATUK LIM BAN HONG
 N15 Pengkalan BatuBN-UMNODATUK KALSOM NOORDIN
 N16 Ayer KerohPH-DAPKERK CHEE YEE
 N17 Bukit KatilPH-AMANAHADLY ZAHARI
 N18 Ayer MolekBN-UMNODATUK RAHMAD MARIMAN
 N19 KesidangPH-DAPSEAH SHOO CHIN
 N20 Kota LaksamanaPH-DAPLOW CHEE LEONG
 N21 DuyongBN-UMNOMOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM
 N22 Bandar HilirPH-DAPLENG CHAU YEN
 N23 Telok MasBN-UMNODATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN
 N24 BembanPN-BERSATUDR MOHD YADZIL YAAKUB
 N25 RimBN-UMNODATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR
 N26 SerkamBN-UMNODATUK ZAIDI ATTAN
 N27 MerlimauBN-UMNODR MUHAMAD AKMAL SALEH
 N28 Sungai RambaiBN-UMNOSITI FAIZAH ABDUL AZIS

KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:

  • Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
  • Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
  • Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi

Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my

Berita Harian X